Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menunjukan barangan rampasan berkaitan operasi yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah ketika sidang media di Ibupejabat SPRM, Putrajaya. Foto HARI ANGGARA, 03 MAC 2025.

KUALA LUMPUR – Siasatan ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bukan atas arahan mana-mana pihak.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, menafikan dakwaan bahawa SPRM melakukan pendakwaan terpilih.

“Anda rasa ini pendakwaan terpilih? Saya tanya soalan itu semula kepada anda (wartawan). Anda rasa ini pendakwaan bermotifkan politik? Saya tak rasa begitu.

“Saya kekal dengan prinsip menyiasat secara profesional dan adil tanpa memilih sebarang darjat atau kedudukan.

“Tak ada arahan daripada mana-mana pihak. Kita ambil tindakan berdasarkan maklumat dan laporan yang kita terima,” katanya dalam sidang media, hari ini.

SPRM kini melakukan siasatan rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan Ismail Sabri.

Ismail Sabri diarah untuk mengisytiharkan harta di bawah Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009 dan pengisytiharan harta itu dilakukan beliau secara rasmi pada 10 Februari lalu.

Suruhanjaya itu telah menyita wang tunai berjumlah kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa (Baht, Riyal, Pound Sterling (BP), Won, Euro, Swiss Franc, dan Yuan).

SPRM turut menyita 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai hampir RM7 juta.

Ahli Parlimen Bera itu hadir ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada 19 Februari lalu untuk direkodkan keterangan.

SPRM turut mengesahkan telah menahan empat pegawai kanan bekas Perdana Menteri itu dalam siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast