Dr S. Subramaniam

KUALA LUMPUR – Laporan bedah siasat ke atas Kim Jong-nam mendapati mangsa meninggal dunia dalam tempoh 15 hingga 20 minit selepas terkena agen saraf VX.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri S. Subramaniam berkata, jumlah kandungan toksik berbahaya itu mungkin melebihi 10 miligram (mg) sehingga menjejaskan paru-paru dan jantungnya.

Malah, tahap penyerapan senjata kimia itu cepat.

“Ia hanya memerlukan 10mg untuk diserap ke dalam sistem untuk membawa maut, jadi saya berpendapat jumlah yang diserap beliau lebih daripada itu.

“Bahan kimia ini mudah diserap ke dalam kulit,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Perundingan Pelan Pembangunan Pendidikan di Institut Pengurusan Kesihatan di sini hari ini.

Tambah beliau, laporan bedah siasat kematian Jong-nam itu sudah selesai dan ia akan diserahkan kepada polis tidak lama lagi.

Subramaniam menambah, kakitangan perubatan yang merawat dan memantau Jong-nam akan dipantau untuk tempoh dua hingga tiga minggu lagi.

Setakat ini tidak ada seorang yang terkena kesan agen saraf VX.

“Kami perlu pantau mereka kerana simptom-simptom toksik ini boleh muncul kemudian jika terdedah kepada jumlah yang sedikit,” katanya sambil memberitahu beliau khuatir jika kimia itu memberi tindak balas yang lambat.

Menurut beliau, sekiranya warisnya tidak tampil, Kementerian Kesihatan akan menggunakan kaedah lain untuk mengenal pasti mangsa.

“Kita boleh menggunakan profil gigi serta membuat perbandingan dengan gambar-gambar yang kita boleh mengenalinya dengan tanda pengenalan seperti tahi lalat,” tambahnya.

Jong-nam dibunuh oleh dua saspek wanita ketika berada di klia2 untuk menunggu penerbangan ke Macau pada pagi 13 Februari lalu.

Beliau tiba di Kuala Lumpur sejak 6 Februari lalu.

Jumaat lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan laporan awal yang diambil daripada eksibit swab pada muka dan kedua-dua matanya mendapati terdapat agen saraf VX. – MalaysiaGazette