Najib Razak.

PUTRAJAYA – Arab Saudi akan menimbang cadangan Malaysia untuk membina dua buah pusat jemaah haji di negara itu.

Pusat haji tersebut dicadang didirikan berhampiran Masjidil Haram (Mekah) dan Masjid Nabawi (Madinah).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Arab Saudi akan menimbang cadangan itu dalam konteks undang-undang kerana orang atau syarikat asing tidak dibenarkan memikili aset di negara tersebut.

“Tapi mungkin (boleh dilakukan dengan) sewa jangka panjang,” katanya pada sidang media di Seri Perdana hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib berkata, Arab Saudi juga telah memberi respon positif terhadap permintaan untuk meningkatkan kuota jemaah haji Malaysia.

“Jemaah haji satu perkara yang amat penting yang mana Arab Saudi memberi perhatian berat.

“Tapi (Arab Saudi) perlu beri pertimbangan yang mendalam (untuk meningkatkan kuota haji Malaysia)

“Kouta haji Malaysia ialah kira-kira 30,000 orang. Terima kasih,” tambah beliau.

Pada 25 Januari lalu, Arab Saudi mengembalikan semula kuota jemaah haji Malaysia kepada 27,900 orang untuk Musim Haji 1438H/2017M berbanding 22,230 orang sejak 2013.

Sementara itu, Najib berkata, Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud berasa senang hati dengan pendirian Malaysia terhadap isu antarabangsa.

Jelas beliau, antaranya ialah menjelaskan Islam sebenar dan memerangi keganasan Islamic States dan Daesh. – MalaysiaGazette