Zakaria Arshad

MSM Malaysia Holding Berhad (MSM) telah meminta pertimbangan kerajaan untuk menaikkan harga gula.

Permohonan itu dibuat sepanjang tahun lalu berikutan peningkatan kos bahan mentah dan kejatuhan nilai ringgit.

Ketua Pegawai Eksekutif Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV), Datuk Zakaria Arshad berkata, ketika ini purata harga gula global adalah sekitar AS$440 setiap tan.

“Kami sentiasa memaklumkan tentang kenaikan kos gula kepada kerajaan dan terbaharu pada minggu lalu.

“Dan, setakat ini belum ada apa-apa keputusan,” katanya pada sidang media bagi mengumumkan prestasi kewangan 2016 di Menara Felda di sini.

Kali terakhir kerajaan menaikkan harga gula pada tahun 2012 iaitu sebanyak RM2.50.

Harga semasa runcit gula di Malaysia ialah RM2.84 sekilogram, kedua terendah selepas Thailand.

Sedangkan Thailand yang merupakan pengeluar gula menjual gula pada harga RM3.20 sekilogram.

Gula adalah barangan kawalan oleh kerajaan tanpa subsidi. – MalaysiaGazette