Gabungan pakatan pembangkang.

KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Pas, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) apabila perbincangan pembahagian kerusi gabungan pembangkang oleh PH tidak melibatkan Pas mengambil tempat hari ini.

Penganalsis politik, Profesor Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, senario itu berpunca daripada Pas yang enggan kembali ke pangkuan PH dalam membentuk kerjasama antara parti-parti pemnbangkang.

“Saya kira PH sedar bahawa kemungkinan (tiga penjuru) pasti akan berlaku walaupun mereka cuba mengelak tetapi dalam keadaan kini di mana Pas lebih cenderung untuk kerjasama dengan UMNO dan tidak mahu langsung bekerjasama dengan DAP dan Amanah (PAN) maka sudah pasti tidak dapat dielakkan pertembungan tiga penjuru,” katanya ketika dihubungi Malaysia Gazette.

PH hari ini dilaporkan akan memuktamadkan rundingan pembahagian kerusi bagi menghadapi PRU-14 melibatkan PKR, DAP, Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Rundingan itu diadakan di Wisma PAN dan dihadiri kepimpinan utama keempat-empat parti.

Menurut Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution, rundingan terbabit akan memuktamadkan segala proses pembahagian kerusi melibatkan pembangkang tanpa Pas.

IMG-20170228-WA0009

Mengulas mengenai itu, Marthada berkata, ketegasan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang enggan bekerjasama dengan PAN dan DAP menyumbang kepada masalah pembahagian kerusi antara pembangkang.

Malah, katanya, perbuatan itu menjurus kepada pertembungan tiga penjuru yang akan memberikan kelebihan kepada BN untuk terus berkuasa selepas PRU14 kelak.

“Jadi bertitik tolak daripada kesilapan mereka itu, tidak akan ada kerjasama yang akan terjalin terutamanya dalam penentuan kerusi, mungkin apabila Pas meletakkan syarat untuk tidak bekerjasama dengan PAN dan DAP maka satu perkara tidak dapat dielakkan sudah pasti PH tidak dapat mengadakan perbincangan dengan Pas,” jelas Marthada lagi.

Ujarnya lagi, PKR malah PPBM kini mulai sedar akan kesukaran untuk mengadakan kerjasama dengan Pas membuatkan kedua-dua parti nekad hadir dalam memuktamadkan pembahagian kerusi sekaligus membelakangkan Pas.

“Saya melihat bahawa PPBM  dan PKR mungkin telah sedar bahawa dalam penetapan kerusi ini Pas sudah menetapkan syarat jelas di mana mereka tidak mahu mengadakan kerjasama dengan PAN.

“Ini menunjukkan satu signal yang jelas bahawa perbincangan melihatkan parti yang tidak sehaluan itu tidak akan membawa apa-apa hasil.

“Kenapa dalam perbincangan dalam menentukan kerusi ini tidak melibatkan Pas kerana PH sedar bahawa Pas kini cenderung untuk mengadakan kerjasama dengan UMNO dan dalam pada masa yang sama tidak mahu terlibat dengan pakatan yang melibatkan PAN dan DAP.,” katanya lagi. – Malaysia Gazette.