Naib Presiden PAS, Idris Ahmad

KUALA LUMPUR – Tindakan beberapa aktivis termasuk Hindraf yang mahu menghalau pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik dari Malaysia dianggap sebagai langkah tidak bertamadun.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Idris Ahmad berkata, kumpulan itu harus sedar diri ibarat pepatah Melayu di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.

Menurutnya, ugutan terhadap Dr Zakir Naik adalah usaha menentang Rang Undang-Undang Persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355), namun tidak mendapat sambutan di kalangan orang Islam.

“Golongan ini bukan sahaja tidak mahu syariat Islam, malah, pengawalan moral pun mereka tidak mahu. Mereka mahu Malaysia seperti negara barat. Mungkin golongan ini pening lalat tidak sedar bumi yang dipijak dan langit yang dijunjung ialah Malaysia.

“Sekarang muka yang sama juga hendak bertindak melampau terhadap Dr Zakir Naik. Paling malang tindakan golongan ini merugikan parti politik dan individu yang sewaktu dengannya” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Beliau berkata, adalah wajar jika ada pihak yang mahu bersetuju atau tidak dengan pendekatan Dr Zakir Naik ketika berhujah dan berdakwah, namun, bukan dengan cara kekerasan seperti yang dilakukan sesetengah pihak terbabit.

“Apa dosa dan salah Dr Zakir Naik? sehingga hendak bertindak kasar sebegitu rupa. Datangkan hujah yang bernas, untuk lawan fakta Dr Zakir. Sebenarnya golongan ini sudah menjadi seperti melukut di tepi gantang.

“Mereka hanya hidup dengan media yang mempunyai agenda seperti mereka. Tindakan mereka bukan sahaja dibenci oleh orang Islam, malahan orang bukan Islam yang bersopan dan bermoral,” katanya.

Terdahulu, 19 aktivis termasuk Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy bersama ADUN Bingkor Jeffrey Kitingan, peguam Siti Kassim dan Pengarah Center for Policy Initiatives, Lim Teck Ghee memfailkan tuntutan.

Mereka memohon satu perintah bagi Ketua Polis Negara menangkap Dr Zakir Naik serta membatalkan status tokoh agama itu sebagai seorang pemastautin tetap Malaysia, termasuk perintah mengusirnya dengan segera dari negara.

Mengulas perkara mengenai perkara itu Idris berkata, mereka sepatutnya tidak mengugut untuk melakukan sedemikian dan perlu menjaga hati orang Islam yang merupakan penduduk majoriti di Malaysia.

“Orang Islam di Malaysia terutama orang Melayu begitu sensitif tentang agama. Mereka boleh hilang tanah dan kampung halaman, tetapi tidak boleh hilang agama.

“Walaupun sikap dan tingkah laku, pakaian, pergaulan tidak menggambarkan sebagai seorang Islam, namun, tetap sensitif dengan Islam. Mereka akan pertahankan Islam walau dengan apa cara sekalipun,” tegasnya. – MalaysiaGazette