Ahli Parlimen Barisan Nasional bersalaman dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada majlis pembukaan Sidang Parlimen Penggal ke-15 di Kuala Lumpur. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 6 MAC 2017.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjelaskan keputusan untuk mengusir Duta Besar Korea Utara Kang Chol adalah kerana keengganan meminta maaf terhadap tuduhan tidak berasas yang dibuat kepada Malaysia dalam kes pembunuhan Kim Jong-nam, abang pemimpin tertinggi negara itu Kim Jong-un.

Najib berkata, sebagai sebuah negara berdaulat, Malaysia tidak akan membiarkan pihak luar menghina negara dan menegaskan sesiapa yang dihantar sebagai duta ke Malaysia perlu menghormati undang-undang negara.

“Keputusan yang kita buat sebab atas soal prinsip maknanya kita adalah sebuah negara yang berdaulat dan sesiapa yang dihantar ke Malaysia mestilah menghormati.

“Kalau dia buat tuduhan melulu tak berasas maka dia sepatutnya meminta maaf dan tarik balik kenyataan tersebut, tapi dia enggan berbuat demikian,” kata Najib semasa ditemui selepas Istiadat Perasmian Sesi Kelima Sidang Parlimen Ke-13 pagi ini.

Menurut Najib, kerajaan sentiasa tegas dalam isu yang dilihat akan mencemarkan maruah negara dan tidak akan membiarkan mana-mana pihak memperkotak-katikkan sewenang-wenangnya.

“Maka berdasar prinsip kita ambil tindakan untuk isytihar dia sebagai persona non grata. Kita memang tegas dalam soal maruah dan kedaulatan kita. Kita tidak biarkan pihak luar memperkotak-katikkan negara kita sewenang-wenangnya,” katanya.

Mengenai hubungan diplomatik dengan Korea Utara, Najib berkata, negara akan mengambil langkah sewajarnya dan menilai dari semasa ke semasa.

Kdelmarin, Kang Chol diberikan masa 48 jam untuk keluar daripada negara ini selepas gagal menghadirkan diri di Wisma Putra dan membuat permohonan maaf secara bertulis kepada kerajaan Malaysia

Pada 13 Februari dunia dikejutkan pembunuhan Jong-nam apabila dua wanita menghampirinya dan menyapu mukanya dengan tapak tangan mereka yang telah disembur dengan cecair beracun di LapanganTerbang Antarabangsa KL 2 (klia2) .

Jong-nam telah meminta bantuan di kaunter khidmat pelanggan di lapangan terbang itu dan segera dibawa ke Hospital Putrajaya tetapi meninggal dunia ketika dalam perjalanan.

Beliau datang ke Malaysia pada 6 Februari dan menggunakan pasport yang tertera nama Kim Chol. – MalaysiaGazette