S. Subramaniam
KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam mengesahkan laporan autopsi yang dilakukan ke atas Kim Chol tidak menyebut beliau mati akibat serangan jantung.

Beliau berkata pasukan forensik Malaysia telah menafikan dakwaan Korea Utara bahawa Kim Chol mungkin mati akibat serangan jantung.

“Kita tidak pasti orang atau laporan perubatan mana yang mereka (Korea Utara) rujuk. Berdasarkan hasil autopsi, tiada serangan jantung.

“Tetapi mereka (Korea Utara) berkata beliau mati kerana serangan jantung. Bagaimana seseorang yang tidak melakukan autopsi atau melihat laporannya boleh membuat kesimpulan seperti itu,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan jurucakap rasmi kedutaan Korea Utara Ri Tong-il yang mendakwa Kim Chol mati akibat serangan jantung dan bukan diracun.

Dr Subramaniam berkata Malaysia telah menyiapkan autopsi yang adil dan disokong Jabatan Kimia.

Beliau berkata cabaran utama dalam kes Kim Chol ketika ini ialah untuk mengenal pasti identiti mayat dan bukan sebab kematian.

Mengulas pula mengenai cadangan untuk diadakan autopsi kedua oleh peguam kepada tertuduh wanita Vietnam dalam kes berkenaan, beliau berkata: “Apa sahaja pendekatan perundangan, kerajaan akan mengikutnya dan pada ketika ini kita telah menyiapkan autopsi secara adil.”

Dr Subramaniam juga menegaskan kerajaan masih menunggu DNA untuk mengesahkan identiti mayat yang ujiannya akan mendedahkan misteri kes itu.

Kematian Kim Chol iaitu abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un bermula ketika beliau sedang menunggu penerbangan untuk ke Macau di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Feb lalu apabila dua wanita menyapu mukanya dengan cecair yang kemudiannya dikenali sebagai agen saraf VX.

Beliau dilapor meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

— BERNAMA