Pengerusi Eksekutif Dubaiz Development Berhad, Datuk Seri Rusli Zaman pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman di antara Dubaiz Development Berhad dan China Dalian International Economic & Technicial Cooperation Group di Hotel Majestic, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 07 MAC 2017

KUALA LUMPUR – Dakwaan pihak-pihak tertentu yang mendakwa jika mengadakan kerjasama perniagaan dengan China bermakna negara akan tergadai merupakan tuduhan tidak berasas.

Pengerusi Eksekutif Dubaiz Development Berhad (Dubaiz), Datuk Seri Dr. Rusli Zaman yang berkata, kerajaan sebenarnya tidak melakukan kesilapan apabila memilih China untuk melakukan kerjasama berbentuk pelaburan.

Menurutnya, tidak kira dalam apa jua bidang sekali pun kerjasama dengan negara yang mempunyai kuasa ekonomi terbesar di dunia itu perlu dijalinkan.

“Tidak timbul isu gadai negara sekiranya menjalin hubungan dengan negara yang mempunyai kuasa ekonomi terbesar di dunia itu kerana Malaysia memerlukan pelabur untuk membangunkan ekonomi.

“Katakanlah pembangkang yang memerintah mereka juga akan gunakan konsep yang sama.

“Kita perlukan pelabur dari luar untuk melabur di Malaysia kerana mahu membangunkan ekonomi,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Dubaiz dengan China Dalian International Economic & Technicial Cooperation Group (CDIG) semalam.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan sesetengah pihak langkah kerajaan bekerjasama dengan China sejak kebelakangan ini seperti mempertaruhkan kedaulatan negara kepada kuasa besar dunia itu.

Dubaiz adalah syarikat tempatan manakala CDIG pula merupakan sayap milik Republik China yang ditubuhkan pada tahun 1984 bekerjasama dalam pembangunan hartanah di negara ini.

Mengulas lanjut Rusli berkata, pelaburan China bukan sahaja dapat membantu merancakkan ekonomi negara tetapi juga dapat meningkatkan aspek pertahanan jika bekerjsama kententeraan. – MalaysiaGazette