HSBC Group

KUALA LUMPUR- Eksport sektor perkhidmatan negara dijangka tumbuh pada purata melebihi lapan peratus setahun dari tahun 2016 sehingga tahun 2030 didorong oleh pertumbuhan kukuh pelancongan.

Menurut unjuran perdagangan global HSBC terbaharu, meskipun berhadapan cabaran ekonomi dan politik, sektor pelancongan terus memainkan peranan besar dengan menyumbang lebih satu pertiga daripada keseluruhan pertumbuhan dalam tempoh tersebut.

Timbalan Ketua Perbankan Komersial dan Komersial HSBC Malaysia, Ng Wei Wei berkata, fokus berterusan kerajaan di dalam penyumberan luar akan terus memacu pertumbuhan perniagaan dengan perniagaan (B2B).

“Seterusnya, eksport perkhidmatan menjadi pemacu utama di dalam keseluruhan jumlah dagangan sejak 15 tahun lalu,” katanya di sini.

Menurut Wei Wei, beberapa sektor sepatutnya mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan global bagi perkhidmatan termasuk Koridor Multimedia yang berperanan untuk melebarkan lagi perkhidmatan ICT di Malaysia.

Menurut laporan tersebut, dalam lima destinasi teratas eksport, India menunjukkan destinasi paling pantas berkembang bagi eksport perkhidmatan Malaysia dalam tempoh 15 tahun akan datang dengan purata pertumbuhan sebanyak 11 peratus setahun.

Namun daripada segi saiz pasaran, Singapura masih menduduki tangga teratas di sebalik penurunan kecil eksport.-MalaysiaGazette