Hilmi Yahaya

GEORGETOWN – Kementerian Kesihatan Malaysia belum menetapkan sebarang keputusan berhubung pengurusan mayat Kim Jong-nam yang kini masih berada di Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, setakat ini kementerian tidak mempunyai peraturan yang mengehadkan tempoh mayat boleh disimpan di hospital, katanya lapor sebuah laman portal.

“Kita tidak boleh terburu-buru untuk buat keputusan besar seperti ini. Bagi kita tempoh, sebarang keputusan akan diumumkan nanti.

“Bagaimanapun, jika mengikut prosedur biasa, mayat yang tidak dituntut waris akan diurus dan dikebumikan di negara ini,” ujarnya ketika ditemui selepas merasmikan Jamboree Balik Pulau 2017 di Kompleks Sukan Balik Pulau di sini, pagi tadi.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar semalam, yang mengesahkan mayat Jong-nam akan diserahkan kepada Kementerian Kesihatan pada bila-bila masa kerana urusan polis berkaitannya sudah selesai.

Jong-nam, anak sulung bekas pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Il didakwa dibunuh oleh dua orang wanita di bawah arahan ejen Korea Utara.

Dia secara terbuka mengkritik penguasaan dinasti keluarganya di negara itu. – MalaysiaGazette.