Najib Razak

BERA – Kuasa yang ada pada Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi oleh UMNO membolehkan orang Melayu dan Bumiputera di negara ini menikmati kehidupan yang lebih baik termasuk dalam bidang pendidikan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata Program Jelajah Pendidikan Bumiputera (JPB) 2017 merupakan bukti yang jelas kerajaan sentiasa mengambil berat pendidikan anak Melayu dan Bumiputera terutama dari golongan kurang berkemampuan.

“Kedudukan anak Melayu dan Bumiputera termasuk yang berada di Sabah dan Sarawak dan Orang Asli lebih baik kerana apa?…kerana perjuangan UMNO yang bawa perubahan termasuk menerusi program JPB.

“Kalau pihak pembangkang, yang ditunjangi DAP, jangan harap ada program seperti ini akan dilaksanakan mereka. Ini mesti kita faham, apa yang kita lihat hari ini tidak boleh dipisahkan dengan kekuasaan politik kerana inilah yang menentukan kemungkinan segala-galanya berlaku, “katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan program JPB 2017 yang dihadiri kira-kira 15,000 orang di Padang Majlis Daerah Bera di sini hari ini.

Majlis turut dihadiri Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) merangkap menteri mentor JPB 2017 Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Induk Jelajah Pendidikan Bumiputera Prof Emeritus Tan Sri Sahol Hamid Abu Bakar.

Najib berkata tanpa adanya program JPB, agak sukar untuk institusi pengajian tinggi membuka peluang kepada anak Melayu dan Bumiputera daripada golongan miskin B40 untuk memperoleh peluang kedua mengubah masa depan mereka menerusi pendidikan.

“Mereka ada keinginan untuk berjaya, ubah nasib masing-masing, namun berharap pada peluang, kalau mereka miskin, tidak ada peluang diberikan, mereka tidak akan ada keyakinan diri.

“Mungkin bimbang tidak akan diterima kalau insitusi pengajian tinggi meletakkan syarat yang terlalu tinggi,” katanya.

Najib turut menyatakan syukur kerana program JPB yang diadakan sejak tahun lepas telah berjaya membantu 37,324 pelajar golongan bumiputera dan Melayu menempatkan diri di institusi pengajian tinggi di negara ini setakat ini.

Katanya daripada jumlah itu, sebanyak 20,370 permohonan yang layak telah dikenal pasti dan diterima, manakala 16,954 orang pelajar lagi menerima surat tawaran terus daripada 11 institusi pendidikan yang terlibat dalam program itu.

Beliau berkata program JPB 2016 diadakan selama tiga bulan bermula Mac sehingga Mei tahun lepas di 55 kawasan parlimen tumpuan di seluruh negara.

Sehubungan itu, perdana menteri berharap program JPB 2017 kali ini akan memberi peluang kepada 50,000 pelajar untuk melanjutkan pengajian bukan sahaja di IPT awam tetapi juga di kolej kemahiran, pusat pengajian berasaskan pendidikan teknikal dan latihan vokasional.

“Sejak Dasar Transformasi Nasional diperkenal, jumlah penyertaan bumiputera yang berpendidikan tinggi dalam bidang pekerjaan telah meningkat daripada 1.89 juta orang kepada 2.64 juta iaitu daripada 27.7 peratus kepada 32.3 dari tahun 2011 hingga 2015. Perdana menteri berkata kerajaan juga tidak lupa membantu pembiayaan pelajar bumiputera di negara ini antaranya menerusi Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera dengan 5,659 pelajar dibantu sejak 2012 hingga 2015.

“Seramai 39,243 pelajar turut menerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam, manakala Majlis Amanah Rakyat (Mara) pula telah membantu 353,817 pelajar bermula 2011 hingga 2015,” katanya.

“Kerajaan turut menyasarkan untuk mempunyai 250,000 pelajar menjelang 2020, yang mana sehingga November tahun lepas, kita mempunyai 165,028 pelajar yang sedang menuntut di 32 kampus UiTM di seluruh negara.

Dalam pada itu, Perdana Menteri mengumumkan satu lagi bentuk bantuan kepada pelajar miskin dan mempunyai kelulusan minimum untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi apabila Bank Rakyat akan menyumbang RM3 juta kepada 2,000 orang bagi tujuan berkenaan.

“Pelajar yang layak akan menerima RM1,500. Mereka akan menerima RM300 apabila mendapat tawaran dan permohonan diluluskan, RM300 lagi ketika mendaftar dan bakinya sebanyak RM900 dikreditkan dalam akaun pelajar di Bank Rakyat pada bulan berikutnya,” katanya.

— BERNAMA