Mohmad Salleh

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah selesai menjalankan siasatan berhubung kes pembunuhan membabitkan abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam.

Bagaimanapun, polis kini masih menunggu perbicaraan dua suspek wanita yang ditahan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, kes berkenaan dianggap selesai selepas pihaknya memperoleh laporan forensik, punca kematian dan pengesahan identiti mangsa.

“Pada saya, berdasarkan sudut siasatan, ia sudah pun diselesaikan kerana laporan forensik, identiti mayatnya dan punca kematian mangsa sudah pun diperoleh. Mangsa disahkan sebagai Kim Jong-nam.

“PDRM hanya menunggu proses undang-undang iaitu perbicaraan terhadap suspek yang terbabit namun daripada segi pengesanan empat suspek yang terlepas itu kita akan teruskan kerjasama dengan pihak INTERPOL,” katanya lapor sebuah laman portal.

Bagaimanapun, Mohmad berkata, beliau tidak boleh memberi butiran lanjut berhubung kes itu.

Katanya, PDRM masih lagi bekerjasama dengan Polis Antarabangsa (Interpol) untuk mengetahui kedudukan empat lagi suspek yang sudah meninggalkan negara ini sejurus selepas pembunuhan itu dilakukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Februari lalu.

Ia berikutan pihaknya mahu memberikan laluan kepada Kementerian Luar Negara menjalankan proses rundingan dengan Korea Utara untuk membenarkan sembilan lagi rakyat Malaysia yang masih berada di negara itu dibenarkan pulang ke tanah air.

“Rundingan antara kedua negara sedang berlangsung menerusi Wisma Putra, biarlah proses itu berjalan dahulu dan apa yang penting rakyat Malaysia di negara berkenaan dapat dibawa pulang. InsyaAllah, ia akan mendapat keputusan positif,” katanya. – MalaysiaGazette