KUALA LUMPUR – UMNO Langkawi dengan tegas menolak cadangan mengembalikan semula sistem pemilihan lama kepimpinan tertinggi parti itu yang hanya melibatkan seramai 2,500 perwakilan.
Ketuanya, Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib berkata, sistem lama itu bukan sahaja tidak relevan dengan realiti politik semasa, malah bercanggah dengan prinsip demokrasi dan keterbukaan yang diperjuangkan UMNO.
Selain itu, kata beliau, cadangan tersebut juga tidak mencapai matlamat utama parti serta merupakan satu langkah ke belakang memandangkan ia tidak inklusif.
“Perubahan yang telah dilakukan sebelum ini bertujuan memastikan pemilihan kepimpinan parti lebih adil, telus, dan menyeluruh.
“Oleh itu, hak memilih pemimpin perlu dikembalikan kepada “ahli akar umbi”, bukan hanya terhad kepada perwakilan yang dihantar ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengesahkan parti berkenaan sedia mempertimbangkan untuk meminda proses pemilihan sebagai sebahagian perubahan struktur meluas mengambil kira cabaran semasa.
Sementara itu, Mohd Nazifuddin berkata, cadangan mengembalikan sistem pemilihan lama juga menimbulkan kebimbangan besar terhadap isu politik wang.
Katanya, dengan hanya 2,500 perwakilan yang mengundi, risiko penyalahgunaan kewangan oleh individu atau kumpulan berkepentingan semakin tinggi.
Sebaliknya, ujar beliau, sistem semasa membolehkan hampir 150,000 ahli akar umbi di 20,000 cawangan daripada 191 bahagian seluruh negara untuk mengambil bahagian dalam pemilihan pemimpin tertinggi parti.
“Hak ahli akar umbi tidak boleh dinafikan demi kepentingan politik segelintir pihak,” katanya.
Sehubungan itu, tegasnya, UMNO Langkawi tidak akan menyokong sebarang perubahan yang boleh mengorbankan prinsip asas demokrasi dalaman dan kepercayaan rakyat terhadap UMNO.
Katanya, kepimpinan tertinggi UMNO harus lebih mendengar suara akar umbi dan memastikan sebarang perubahan dalam sistem pemilihan adalah berdasarkan prinsip demokrasi untuk memastikan masa depan parti yang lebih inklusif dan kukuh. – MalaysiaGazette
















