Poster menunjukkan perbalahan DAP dan Pas.

KUALA LUMPUR – Ahli DAP di kawasan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng pula dijangka mengumumkan keputusan keluar parti tidak lama lagi, dedah bekas pemimpin atasan parti itu, Zulkifli Mohd Noor kepada MalaysiaGazette.

Bekas Naib Pengerusi DAP itu memberitahu menerima maklumat tersebut daripada ahli-ahli DAP di Bagan yang tidak berpuas hati dengan Guan Eng dan ia merupakan rentetan daripada tindakan sekumpulan ahli DAP di Melaka yang mengumumkan keluar parti hujung minggu baru-baru ini.

“Saya difahamkan di tempat Guan Eng sendiri akan berlaku keluar parti, di rumah beliau sendiri di Bagan dalam masa seminggu lagi.

“Banyak juga akan keluar di Sepang dan Klang, malah di Cheras sendiri. Ini maklumat dan maklum balas saya dapat, saya bekas orang nombor tiga dalam parti pasti mereka akan bercakap kepada saya,” kata beliau.

Zulkifli bagaimanapun tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai kumpulan ahli DAP di Bagan yang akan keluar parti itu.

Menurut beliau, tindakan ahli-ahli DAP di Melaka itu sebagai permulaan dan ia bakal merebak ke seluruh kawasan yang dikuasai mereka sebagai tanda protes kepada pimpinan tertinggi parti itu.

“DAP sekarang dalam keadaan keruntuhan kerana DAP ini sudah busuk daripada kepala dan juga ekor.

“Maksudnya, pemimpin DAP ini sudah ditolak oleh ahli dan yang menolak mereka bukan ahli dibawah sahaja malah ahli atasan juga sudah menolak. Maknanya ia menunggu masa dimana ia akan merebak ke semua ahli seluruh negara,” katanya.

Dakwa Zulkifli lagi, keadaan dalam DAP kini sudah wujud pertembungan antara pemimpin lama dengan baharu dalam parti yang tidak berpuas hati dengan keputusan bekerjasama dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Mereka sudah meluat dengan tindakan Lim Kit Siang dan Guan Eng, paling menjadi isu tak puas hati adalah mengapa tidur sebantal dengan Dr Mahathir.

“Dalam DAP sekarang ini kebanyakannya adalah ahli baharu yang terdiri daripada bekas ahli MCA, MIC dan Gerakan dimana mereka masuk parti selepas pilihan raya 2008 lalu. Sekarang ini ada pertembungan orang lama dan baharu,” katanya.

Hujung minggu lalu, sekumpulan ahli DAP mengumumkan keluar parti mengikut jejak Ahli Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him bersama tiga ADUN lain yang mengumumkan keluar parti bulan lepas.

Memetik laporan portal pembangkang, seramai 182 ahli DAP negeri itu keluar parti atas alasan kecewa dengan pucuk pimpinan.- MalaysiaGazette