Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) diiringi Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Tan Sri Ranjit Ajit Singh (kanan) dan Pengerusi IOSCO dan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Sekutiri Hong Kong, Ashley Alder (kiri) pada Majlis Perasmian IOSCO Pacific Hub In Kuala Lumpur di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Bukit Kiara, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 14 MAC 2017

KUALA LUMPUR – Kekukuhan dan kualiti pasaran modal Malaysia serta badan regulatori yang berstruktur baik membuatkan Malaysia dipilih sebagai Hab Asia Pasifik Organisasi Antarabangsa Suruhanjaya Sekuriti (IOSCO).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pemilihan Malaysia itu juga melambangkan peranan kepimpinan antarabangsa di dalam membina pasaran modal global yang kukuh.

“Penubuhan hab serantau Asia Pasifik IOSCO ini tepat pada masanya kerana Asia Pasifik merupakan pemain utama di dalam ekonomi pesat membangun di dunia.

“Dipacu oleh urbanisasi dan pertumbuhan populasi yang bekerja, dianggarkan rantau ini akan mewakili 66 peratus daripada golongan pertengahan dan mewakili 59 peratus penggunaan kelas pertengahan menjelang 2030.

“Ini pastinya prospek baik kepada Asia Pasifik,” katanya semasa berucap melancarkan IOSCO di sini hari ini.

Tambahnya fokus adalah kepada manfaat integrasi global dalam menyokong pertumbuhan domestik serta reformasi struktur yang memerlukan dasar fiskal dan monetari yang saling melengkapi. – MalaysiaGazette