Dr. Yusof Yacob

KUALA LUMPUR – Keputusan MARA merehatkan Tan Sri Annuar Musa sebagai pengerusi organisasi itu pada 31 Januari disebabkan siasatan berhubung isu penajaan The Red Warrior (TRW) dan tidak ada kena mengena dengan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Pengerusi Sementara MARA, Datuk Dr. Yusof Yacob berkata, langkah itu untuk memberi keyakinan awam terhadap urus korporat MARA bagi membolehkan siasatan sewajarnya dijalankan berhubung isu penajaan bagi pasukan bola sepak itu.

“Annuar Musa tidak dipecat sebaliknya merehatkan beliau,” kata MARA dalam kenyataan di sini.

Annuar juga telah dimaklumkan agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan sehingga siasatan oleh Jawatankuasa Audit Dalaman MARA selesai sepenuhnya.

Dr. Yusof berkata, penglibatan atau sokongan Annuar terhadap UEC tidak ada kena mengena atau tiada kaitan dengan keputusan Majlis MARA untuk merehatkan beliau daripada tugas Pengerusi MARA.

“Alasan dan punca MARA merehatkan beliau adalah jelas berikutan isu bola sepak The Red Warrior.

“Saya berharap semua pihak termasuk Annuar faham perkara ini dan tidak lagi diputarbelitkan oleh pihak tertentu,” tegasnya.

Baru-baru ini, Annuar mendakwa beliau digantung sebagai Pengerusi MARA kerana menyokong pengiktirafan UEC.

Laporan itu dipetik daripada akhbar Sin Chew Daily.

Annuar menafikan beliau disiasat disebabkan penggunaan dana daripada dua anak syarikat MARA yang menaja The Red Warrior semasa beliau menjadi presiden.

“Kebanyakan orang UMNO tidak suka dengan sokongan yang saya berikan kepada UEC, khususnya keputusan untuk meminta Universiti Kuala Lumpur menerima kelayakan UEC bagi pendaftaran,” kata Annuar yang dipetik sebagai berkata dalam akhbar berbahasa Cina itu.- MalaysiaGazette