Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri berkata lawatan Raja Arab Saudi, Raja Salman Al-Saud berjaya menepis segala fitnah dan dakyah pembangkang mengenai negara ini.

Jelas Datuk Seri Najib Razak, segala fitnah seakan-akan lenyap apabila pihak pembangkang menabur pelbagai fitnah termasuk pihak luar terhadap beliau kononnya telah menggunakan nama keluarga diraja Raja Arab Saudi dalam isu dana RM 2.6 bilion ini.

“Kalau ada pihak yang menidakkan kita (kerajaan) kononnya kita negara gagal atau ekonomi tidak stabil dan sebagainya yang menyebabkan maklumat yang salah disampaikan kepada pihak Arab Saudi terutamanya KWSP sudah bankrap, kononnya kita tidak ada duit nak bayar gaji (penjawat awam), macam-macam lagi.

“Bila Raja Salman melawat Malaysia lenyap segala tuduhan palsu yang dibangkitkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya menjawab pertanyaan balas Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah di Dewan Rakyat hari ini.

Najib sebelum ini telah menjelaskan berkali-kali tentang dana RM2.6 bilion itu malah kenyataan daripada kerajaan Arab Saudi juga telah mengesahkan bahawa dana itu sememangnya derma daripada keluarga diraja itu.

Penjelasan itu bagaimanapun tidak dipedulikan oleh pihak pembangkang dan terus memainkan fitnah tersebut demi kepentingan politik mereka.

“Jelas sekali keberangkatan Raja Salman menjadi detik yang amat bersejarah bahawa baginda berkeyakinan penuh terhadap kestabilan politik dan ekonomi Malaysia sekaligus meletakkan hubungan dua hala Malaysia dan Arab Saudi pada kedudukan terbaik serta tahap yang tertinggi dan didoakan akan berkekalan sampai bila-bila,” jelas Najib lagi.

Lawatan negara oleh Raja Salman selama empat hari baru-baru ini ternyata membawa manfaat kepada Malaysia apabila menerima pelaburan berpotensi bernilai kira-kira RM40 bilion.

Kunjungan itu didorong hubungan erat antara kedua-dua negara selama hampir 60 tahun berlandaskan sikap saling hormat-menghormati dan bekerjasama dalam meningkatkan hubungan dalam semua bidang.

Tujuh Memorandum Persefahaman (MoU) bernilai anggaran RM9.74 bilion telah  dimeterai antara syarikat Malaysia dan Arab Saudi, meliputi pelbagai bidang seperti pembinaan, industri halal, aeroangkasa dan perkhidmatan haji semasa lawatan itu.

Bahagian perniagaan terbesar pula adalah daripada perjanjian pembelian saham  antara Petronas dan syarikat minyak negara Arab Saudi, Saudi Aramco, bernilai RM31 bilion. -MalaysiaGazette.