Gadis ini antaranya dikutuk kerana memandu secara bahaya sehingga menyebabkan kematian dan menyusahkan orang lain. Kritikan ditulis dalam pelbagai bahasa.

BUKIT MERTAJAM – Remaja perempuan yang memandu secara melawan arus di Lebuhraya Utara-Selatan dekat sini, hingga mengakibatkan kemalangan maut Selasa lepas, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan mengambil dadah jenis amphetamine ketika kejadian.

Ng Pei Ven, 19, didakwa mengambil dadah itu di Pejabat Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Seberang Perai Tengah dekat sini pada 5 petang, 14 Mac lepas.

Remaja itu yang merupakan model sambilan didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM5,000, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Pegawai Pendakwa ASP Md Azman Kadir menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan memohon perintah agar tertuduh melapor diri di jabatan narkotik setiap minggu.

Selain itu Md Azman turut memohon agar lesen memandu Ng digantung kerana kes itu menjadi perhatian umum.

Bagaimanapun perkara itu belum dapat diputuskan oleh mahkamah memandangkan siasatan kes trafik ke atas tertuduh menurut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 masih belum selesai.

Majistret Jamaliah Abd Manap kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan dua orang penjamin dan memerintahkan Ng melapor diri di balai polis berdekatan seminggu sekali.

— BERNAMA `

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast