Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Gesaan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa supaya kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dilihat oleh penganalisis tempatan sebagai mencurigakan dan tidak masuk akal. 

“Saya pun pelik kenapa secara tiba-tiba dia pula menyokong? Dia (Annuar) dilobi oleh siapa? Maksudnya siapa pula yang melobi dekat dia?

“Jika dia (Annuar) bercakap atas kapasiti (pemimpin) UMNO, adakah dia mahu supaya UMNO dibenci oleh orang Melayu? 

“Ini cakap politikkah atau bertujuan mengambil hati pengundi orang Cina pada pilihan raya akan datang. Tapi, tak payahlah,” kata Datuk Prof. Dr. Ramlah Adam

Menurut Ramlah, selain tiada latar belakang portfolio pendidikan dalam Kabinet, sokongan Ketua Penerangan UMNO berkenaan perlesenan dari kerajaan juga tidak masuk akal kerana silibus dalam UEC tidak selari dengan dasar pendidikan tempatan.

“Dia bukan orang pendidikan. Kerajaan tak iktiraf sebab silibusnya asing, silibus Taiwan. Lesen soal lain, tapi ianya soal silibus tu. 

“Kalau dia (Annuar) mahu terima, takkan kita nak terima semua sistem pendidikan dari luar negara ke sini (Malaysia) kan? Jadi apa dasar (pendidikan) kebangsaan kita?

Walau bagaimanapun, menurut Ramlah, perkara tersebut tidak menjadi masalah sekiranya mana-mana sijil peperiksaan luar negara termasuk UEC selari dengan silibus pendidikan tempatan.

Kerajaan sehingga hari ini masih tidak membuat sebarang pengiktirafan terhadap sijil tersebut berikutan konflik yang dihadapi sistem pendidikan di negeri-negeri lain selain Sarawak yang merupakan satu-satunya negeri mengiktiraf sijil itu.

UEC diperkenalkan pertubuhan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia atau Dong Zhong, sebagai sebahagian syarat kemasukan Universiti Selangor, UNISEL.

Ia mencetus kontroversi apabila Dong Zhong meminta UEC diiktiraf sebagai syarat kemasukan ke universiti awam menggantikan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi penuntunya.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh sebelum ini memberitahu, kerajaan bersedia mengiktiraf UEC jika pihak berkepentingan sanggup mengikut syarat-syarat antaranya penyelarasan kertas Bahasa Malaysia dan Sejarah dalam peperiksaan tersebut.

Bagaimanapun sehingga kini syarat-syarat tersebut enggan dipatuhi.

Terdahulu, Annuar berkali-kali menegaskan, mahu supaya kerajaan mengiktiraf UEC yang menurut beliau sah di sisi undang-undang.

Antara hujahnya, Perlembagaan Malaysia sentiasa menjamin hak semua rakyat, termasuk dalam soal bahasa, pendidikan dan sekolah persendirian. – MalaysiaGazette