Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) Malaysia hari ini mengesahkan bekas anggota Parlimen Pandan Rafizi Ramli telah memohon pada 9 Julai pengecualian agar tidak hilang kelayakan bagi memegang jawatan dalam pertubuhan berdaftar di Malaysia.
Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli melahirkan keyakinan parti itu dapat mempertahankan kerusi Permatang Pauh tanpa bantuan Pas pada Pilihan Raya Umum ke-14 kelak.

Keyakinan bekas Setiausaha Agung PKR itu bersandarkan kepada realiti yang dihadapi parti itu semasa Pilihan Raya Kecil kawasan itu pada 2015 lalu.

“Saya memohon supaya ahli-ahli PKR terus mendekati rakyat dan membela rakyat biasa di Permatang Pauh.

“Saya yakin prinsip membela rakyat seperti ini yang telah dizahirkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sekian lama telah memenangi hati rakyat Permatang Pauh, walaupun pelbagai gelora politik melanda sejak 1999 kerana UMNO sangat menginginkan kerusi Parlimen Permatang Pauh itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rafizi berkata demikian setelah Pas Permatang Pauh mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan dengan parti itu selepas Mesyuarat Agung Tahunan kawasan itu awal pagi tadi.

Menurut Yang Dipertua Pas Permatang Pauh, Omar Hasan tindakan itu diambil kerana rakan Tahaluf Siyasinya itu terus mengadakan kerjasama dengan DAP dan Parti Amanah Negara (PAN).

Malah Pas kawasan Bayan Baru turut mengikut jejak Pas Kawasan Permatang Pauh apabila membuat keputusan untuk memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR.

Yang Dipertuanya, Iszuree Ibrahim berkata, keputusan itu diambil ekoran beberapa tindakan pemimpin PKR yang membelakangkan parti tersebut ketika masih bekerjasama dalam pembangkang di negeri ini.

Rafizi dalam pada itu menyifatkan tindakan Pas kawasan berkenaan lebih kepada mengabaikan kepentingan dan mandat yang diberikan rakyat kepada pembangkang.

“Pada kala rakyat seluruh negara dibebankan dengan pelbagai masalah harian, adalah menjadi keutamaan kita untuk meletakkan kepentingan rakyat mengatasi pertimbangan politik kepartian.

“Oleh itu, saya memohon supaya PKR Permatang Pauh khususnya dan PKR di seluruh negara amnya untuk memperbanyakkan lagi program-program yang membela rakyat dan tidak terlalu memberi perhatian kepada pelbagai polemik politik kepartian yang mengalihkan tumpuan kita dari membela rakyat,” katanya lagi. -MalaysiaGazette.