Home Ekonomi Fokus, keutamaan FGV belum tergelincir lagi

Fokus, keutamaan FGV belum tergelincir lagi

KUALA LUMPUR – Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) tidak pernah membincang dengan mana-mana syarikat tempatan atau luar negara untuk memiliki kepentingan saham dalam syarikat perladangan gergasi itu.

Sumber berkata, berita yang tersebar sejak beberapa hari ini hanyalah spekulasi media.

“Kami tidak pernah berbincang dengan mana-mana pihak. Itu saya boleh sahkan. Jika ada, perkara itu perlu dibawa kepada Lembaga Pengarah tetapi setakat tidak ada,” kata sumber kepada MalaysiaGazette.

Beliau mengulas laporan berita kononnya FGV sedang berbincang dengan Tradewinds (M) Berhad dan China National Cereals, Oil and Foodstuff Corporation (Cofco) berhubung pemilikan saham.

Selain Cofco, terdapat dua lagi syarikat berasaskan minyak sawit dan produk sawit juga sedang mengintai peluang meningkatkan kepentingan dalam FGV melalui pasaran terbuka.

Mengulas perkara itu, sumber memaklumkan FGV kekal dengan pelan penyusunan korporat yang ditetapkan oleh Datuk Zakaria Arshad dengan menumpukan perniagaan teras syarikat itu.

FGV juga akan menumpukan usaha meningkatkan produktiviti aset sedia ada dan melupuskan aset bukan teras yang menjadi keutamaan syarikat.

“Itu fokus dan keutamaan FGV sekarang dan belum ada perubahan lain, tidak ada yang tergelincir lagi. Kita mahu FGV terus mampan dan berdaya saing dalam menghadapi persekitaran mencabar.

“Paling utama kita mahu mengembalikan kedudukan harga saham FGV,” katanya lagi.

Sumber menambah, pada masa sekarang prestasi FGV berada dalam momentum yang baik dengan harga saham pula menampakkan kesannya. – MalaysiaGazette