Hamzah Zainuddin

KUALA LUMPUR – Sekiranya kerajaan mengambil langkah penetapan harga petrol kepada RM2.50 seliter, langkah itu tidak akan dapat dirasai dan sampai keada golongan sasaran.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin menjelaskan, situasi turun naik turun naik harga minyak dunia adalah sukar dijangka.

Malah katanya, kaedah pengapungan terkawal adalah yang terbaik buat rakyat.

“Apabila kita lakukan ketetapan harga, kita tidak tahu formula RM2.50 itu akan stabilkan harga atau tidak. Berdasarkan analisa, harga minyak pernah naik sehingga RM2.90.

“Jika tiap-tiap waktu dia naik RM2.90 dalam tempoh lama dan panjang, maka kita terpaksa bayar harga yang besar. Kalau naik RM0.05 jumlah yang kita subsidi adalah RM100 juta ringgit, kalau RM0.40, ia berjumlah RM800 juta ringgit.

“Tanggungjawab kita adalah kepada kumpulan sasar yang tepat, kalau subsidi ini diberikan ia tidak begitu adil, kerana ia digunakan oleh semua dan sedikit kepada kumpulan sasar,” kata Hamzah ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Hasan Arifin dalam sesi soalan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan kaedah pengapungan terkawal yang akan diumumkan setiap minggu bermula April depan.

Tambah Hamzah, langkah ini dilihat satu kaedah yang paling sesuai buat masa ini kerana turun naik minyak tidak lagi begitu ketara.

Ini kerana kaedah ini juga dijangka akan memberikan keselesaan kepada pengguna.

“Bermula 1 April akan saya umumkan tiap-tiap minggu kaedah baru harga yang akan dibuat nanti. Kabinet telah bersetuju untuk dimulakan pada minggu hadapan,” katanya lagi.

Sebelum ini, penentuan harga petrol tersebut dibuat berdasarkan perkiraan Automatic Price Mechanism yang akan menentukan harga bagi bulan berikutnya.

Kaedah itu berkesan dalam menambahbaik harga runcit petrol dan menggalakkan harga petrol dengan berkesan dan tidak membazir. -MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast