Razali Ibrahim

JERANTUT – Keprihatinan yang ditunjukkan pembangkang terhadap masalah warga Felda hanyalah satu agenda politik bagi merealisasikan hasrat mereka menjadi kerajaan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim.

Katanya ini kerana pembangkang sedar kawasan Felda merupakan antara penyumbang kerusi parlimen terbanyak Barisan Nasional (BN).

“Kenapa tidak ke Perlis? Sebab mereka tahu Perlis kecil, kerana itu Felda jadi kawasan tumpuan strategi politik mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Kelompok UMNO Cawangan Bahagian Jerantut, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua UMNO Jerantut Datuk Ahmad Nazlan Idris.

Razali yang juga Anggota Majlis Tertinggi UMNO turut menegaskan kerajaan BN tidak pernah mengabaikan kawasan Felda.

“Bodohlah BN kalau kita nak abaikan dan menimbulkan masalah di kawasan ini,” katanya.

Pada masa sama beliau mengingatkan jentera BN agar turun padang dengan lebih kerap bagi memberi penerangan kepada warga Felda tentang isu semasa agar mereka tidak terpengaruh dengan dakyah pembangkang.

“Warga Felda perlu ingat sejak dahulu sehingga kini, baik waktu senang mahupun susah, kerajaan BN yang bersama-sama mereka. Silap percaturan masa depan mereka dan Felda sendiri akan terjejas,” katanya.

— BERNAMA