KUALA LUMPUR – Penaung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad meramalkan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan diadakan sekitar September tahun ini sehingga Mac tahun depan berdasarkan beberapa petanda awal.
Dr Mahathir membuat ramalan itu berdasarkan pemerhatian melibatkan kekerapan majlis dan program yang diadakan oleh kerajaan, selain cuti penjawat awam yang sudah dibekukan berdasarkan daripada surat yang bocor di laman media sosial.
“Berdasarkan daripada jadual cuti yang dibekukan, majlis dan sambutan ulang-tahun, ia sepatutnya diadakan antara September tahun ini ke Mac tahun depan. Ia akan diadakan sebelum berakhir tamat mandatnya,” kata Dr Mahathir semasa ditemui di Parlimen selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) hari ini.
Mandat kerajaan Barisan Nasional (BN) bakal berakhir pada Jun 2018, selepas kali terakhir PRU diadakan pada 2013.
BN dilihat berada pada landasan selesa susulan kejayaan pada Pilihan Raya Negeri Sarawak 2016, di samping kemenangan selesa semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar.
Malah, semasa Perhimpunan Agung UMNO 2016 lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menggesa para perwakilan untuk bersiap-sedia di medan juang PRU14.
Terdahulu, Dr Mahathir berkata, mesyuarat dengan PH hari ini membincangkan mengenai pembahagian kerusi secara prinsip dan bukan menentukan jumlah kerusi yang akan ditandingi oleh parti dalam gabungan pembangkang itu.
Selain itu, mesyuarat juga membincangkan mengenai manifesto pembangkang yang akan dibawa dalam PRU nanti. – MalaysiaGazette.