SEKINCHAN – Selepas beberapa orang wakil rakyat DAP ‘disergah’ kali ini Datuk Seri Jamal Md. Yunos mendakwa Ahli Dewan Undangan Negeri Sekinchan pula pecah amanah.
Pengerusi Gabungan NGO Selangor itu mendakwa Ng Suee Lim telah menyalahgunakan puluhan ribu dana Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS).
“Duit ini (dana YAWAS) adalah duit rakyat Selangor, kita (ahli BN) tak dapat tidak mengapa, kita tak terhegeh-hegeh tapi masalahnya rakan mereka sendiri (ahli dari gabungan PH) pun mereka tipu.
“Sudah daftar dan ada yang meninggal tapi sampai sekarang tak bagi (wang dana).
“Mari kita buat report ramai-ramai mereka ini pengkhianat kepada kita di Sekinchan,” tegasnya sebelum membuat laporan di perkarangan Ibupejabat Polis Sekinchan hari ini.
Dalam pada itu, satu demonstrasi aman turut diadakan dan disertai penduduk berbangsa Cina di Sekinchan.
Jamal yang juga Ketua Bahagian UMNO Sekinchan mendakwa ada bukti segala penyelewengan Suee Lim.
Dalam masa terdekat, Jamal juga akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Pihak Suruhanjaya Syarikat Malaysia mengenai penyelewengan dana berkenaan.
Beliau juga akan membuka penempatan untuk Biro Aduan Rakyat di Shah Alam supaya memudahkan rakyat di negeri itu membuat aduan mengenai perkara terbabit.
Beliau juga mahu pengundi Sekinchan menolak wakil rakyat DAP itu pada pilihan raya umum akan datang.-MalaysiaGazette