KUALA LUMPUR – Naib Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Dr. Mujahid Yusuf Rawa menulis surat terbuka kepada Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nik Abduh Nik Aziz dan mempersoalkan tindakan Ahli Parlimen Pasir Mas itu menghalang penganjuran Wacana Pemikiran Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Sambil membahasakan dirinya kekanda dan memanggil Nik Abduh sebagai adinda, Mujahid menegaskan laporan polis menghalang wacana itu seakan-akan menyekat orang ramai mengetahui pemikiran tokoh politik dan ulama.

“Adinda, kita berkongsi satu fakta, iaitu ayah kita adalah pemimpin parti Islam yang disegani kawan dan lawan. Ayah saya Yusof Rawa pernah menjadi Presiden Pas dan Mursyidul Am Pas pertama,” katanya.

Menurutnya, sudah pasti kedua-dua allahyarham (Mujahid dan Nik Aziz) menjadi kritikan, cemuhan, pujian dan pujaan semasa hidup mereka.

“Kritikan pedas kepada ayah ketika memimpin era kepimpinan ulamak oleh musuh politiknya seperti tuduhan terikut pengaruh syiah dan kritikan dari dalam Pas sendiri ketika ayah bersetuju dengan penubuhan sayap Chinese Consultative Council semua diterima sebagai asam garam politik.

“Malah ayahanda pernah berhasrat letak jawatan presiden kerana menganggap undi tidak percaya kepadanya hanya kerana ada di kalangan AJK Pas waktu itu tidak menyokong keputusan yang sebelumnya dibuat bersama.

“Walaupun Tan Sri Asri Muda dan rakan-rakannya menubuhkan HAMIM, ayahanda saya tetap menziarahi mereka sebagai kawan. Ayahanda mengajar saya bahawa Islam mengatasi kepartian dan kekelompokan,” ujarnya lagi.

Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, arwah ayahnya dahulu dikenali tidak bersetuju dengan budaya takfiri ketika itu dan menyatakan pendirian Pas secara rasmi.

“Berbeza dengan adinda, saya memilih untuk bersama AMANAH atas pilihan prinsip. Orang menuduh kekanda dengan label berbagai antaranya “iman tidak boleh diwarisi” ” , “ayah hebat, anak pengkhianat” dan lain lain yang cuba kaitkan saya dan ayah saya. Kekanda diamkan sahaja dan anggapnya sebagai asam garam perjuangan,” katanya.

 

Menurutnya, semua tokoh sama ada ulamak atau politik sepanjang sejarah dibuat penulisan dan kajian antara kritikan dan kredit seperti Ibnu Taimiyah, Imam al Ghazali dan Imam al Syatibi.

“Apa pun, ia tidak mengurangkan kehebatan idea, ilmu tokoh besar ini,” kata Mujahid lagi.

“Biarlah ayahanda kita dikaji, diseminarkan kerana generasi akan datang dapat menghargai jasa besar mereka untuk politik Malaysia dan perkembangan politik Islam antarabangsa.

 

“Lagi pun seminar yang bakal dianjurkan belum pun lagi berlangsung, apakah adinda ada ‘kasyaf’ keburukan akan berlaku?,” sindir Mujahid.

Beliau bagaimanapun sedia memujuk partinya menjemput Nik Abduh sebagai panel wacana pemikiran itu sekiranya Nik Abduh bersetuju.

Sebelum itu, Nik Abduh dan keluarganya menghalang inisiatif PAN untuk menganjurkan wacana menggunakan nama allahyarham bapanya yang juga bekas Menteri Besar Kelantan dan telah membuat laporan polis mengenainya baru-baru ini.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast