Jamal memakai tuala ketika membuat bantahan ketiadaan bekalan air di pintu masuk SUK.

SHAH ALAM – Nama ‘Jamal’ dan ‘Noh’ menjadi sebut-sebutan dan topik utama isi kandungan perbahasan rata-rata wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) pada Sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Pembahas pertama, Ng Suee Lim (Sekinchan-DAP) sering menyebut nama ‘Jamal’ yang dirujuk kepada Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md. Yunos setiap kali bercakap mengenai isu rakyat.

Beliau mengecam Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu yang bertuala berhimpun di depan pintu masuk ke Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan mengupah van jenazah membawa keranda ke pejabat kerajaan negeri.

Alasan yang dilakukan Jamal itu, kata beliau, kerajaan Selangor gagal menangani masalah air dan menjaga kebajikan rakyat dengan peruntukan disediakan setiap tahun.

“Ada seorang ketua bahagian… dia ini orang dalam kawasan saya (Sekinchan) telah datang ke pejabat SUK dengan memakai tuala. Bila ditanya kenapa, dia jawab di rumahnya tidak ada air.

“Jadi, dia datang sini (SUK) kononnya nak mandi tetapi pada masa sama, dalam Facebook pula tular tindakan seorang lelaki yang memakai kaca mata macam S.Jibeng (merujuk Rani Kulup) yang menunjukkan di rumahnya ada air dan dia seronok mandi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengambil bahagian dalam perbahasan usul menyembah ucapan terima kasih ke atas titah Sultan Selangor di Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Suee Lim juga menyifatkan tindakan Jamal itu sebagai orang tidak bertamadun dan menjadi suruhan kepada ‘Noh’ (yang dirujuk kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar).

Beliau yang mengambil masa berbahas kira-kira dua setengah jam mengulas banyak isu, tetapi setiap isu yang dikupasnya tidak lari daripada bayangan Jamal dan Noh sehingga dia ditegur beberapa kali oleh wakil rakyat dari Barisan Nasional (BN) kerana terlalu beremosi.

“Hari ini memang hari Sekinchan. Bayangkan, speaker, lepas itu disambung oleh Timbalan Speaker membenarkan dia berucap sehingga hampir tiga jam,” ujar seorang wakil rakyat dari BN.

Pembahas kedua iaitu Dr. Xavier Jayakumar (Sri Andalas-PKR) juga turut dibayangi ‘Jamal’ apabila mengkritik keras tindakan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu mendedahkan kepada umum dokumen rahsia kerajaan.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana Jamal boleh mendapat dokumen berkenaan dan mendedahkan kepada umum mengenai tuduhan salah laku wakil rakyat dari PH.

“Saya ingat kerajaan perlu mengetatkan prosedur di setiap bahagian yang menyimpan dokumen penting peribadi seseorang,” katanya yang turut mengambil bahagian dalam perbahasan usul menyembah ucapan terima kasih serta menjunjung kasih ke atas titah Sultan Selangor.

Sidang Dewan Negeri Selangor bagaimanapun ditangguhkan sehingga jam 4.30 petang ketika Salehin Muhyi (Sabak-Pas) mengambil bahagian.

Persidangan hari ini lebih memihak kepada wakil kerajaan negeri, dengan sekali sekala wakil pembangkang dari BN bangun mencelah terutama ketika sesi perbahasan Suee Lim kerana ADUN Sekinchan ini banyak kali mengutuk Kerajaan Persekutuan.

Ketika sesi soal jawab juga, tidak banyak soalan tambahan dari wakil BN kerana soalan pokok dari wakil kerajaan negeri tidak menyentuh pasal kebajikan atau kepentingan rakyat. – MalaysiaGazette