SALAHUDDIN AYUB

KUALA LUMPUR – Selepas bertegas untuk mengadakan Seminar Pemikiran Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 9 April depan, Parti Amanah Negara (PAN) kini tampil dengan idea untuk mengangkat seminar sama dengan menggunakan nama dua lagi bekas pemimpin Pas.

Menurut Timbalan Presidennya, Salahuddin Ayub, bekas pemimpin seperti Allahyarham Yusuf Rawa dan Allahyarham Datuk Fadzil Noor akan dicadangkan kepada parti itu, selepas timbul kontroversi apabila waris kepada Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini, membantah penganjuran seminar yang menggunakan nama Nik Aziz.

Malah parti itu tidak gentar untuk terus menggunakan nama bekas dua bekas pemimpin Pas tersebut dan bersedia untuk menghadapi sebarang tindakan perundangan daripada waris.

“Mungkin dalam Mesyuarat Bulanan PAN minggu depan, saya akan mencadangkan supaya ada individu, NGO dan pertubuhan politik berminat untuk menganjurkan wacana dua orang lagi tokoh besar yang lain iaitu Allahyarham Yusuf Rawa dan Allahyarham Ustaz Datuk Fadzil Noor.

“Pemikiran politik kedua-dua orang tokoh ini juga sangat besar kesan dan pengaruhnya dalam merubah paradigma,’patern’ budaya politik negara ini.

“Saya berharap waris kepada kedua-dua mereka bolehlah bersiap untuk menyaman saya ke mahkamah,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Pada Sabtu lalu, waris Nik Aziz membuat laporan polis terhadap PAN berhubung penganjuran seminar berkenaan.

Anaknya, Nik Mohamad Abduh menganggap penganjuran seminar oleh PAN adalah penghinaan terhadap Allahyarham bapanya itu yang selama ini istiqamah dengan perjuangan Pas.

“Adalah pelik dan menjengkelkan apabila ada kelompok manusia yang marah dan risau apabila ada pihak yang mahu menganjurkan ‘Seminar Pemikiran Tok Guru Nik Abdul Aziz’ ini.

“Bagi saya sejujurnya, Nik Aziz adalah seorang tokoh dan negarawan yang juga dimiliki rakyat dan negara. Tidak keterlaluan jika ada di antara kita yang menganggap beliau adalah tokoh dunia pada kelasnya yang tersendiri,” kata Salahuddin. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast