Ab. Rauf Yusof

KUALA LUMPUR – Sambutan ulang tahun UMNO ke-71 pada Mei ini dijangka dihadiri lebih 140,000 akar umbi dari seluruh negara.

Setiausaha Kerja parti, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, sambutan tersebut yang bakal menjadi acara terbesar dalam sejarah parti akan memaparkan kesepakatan UMNO dan Barisan Nasional sejajar dengan `mood’ Pilihan Raya Umum (PRU) 14 yang semakin dirasai.

“Kita jangkakan setiap bahagian menghantar 1,000 penyertaan dari bahagian masing-masing untuk acara pada 11 Mei ini di Stadium Bukit Jalil dan dengan kehadiran mereka kita mahu menerapkan semangat kesepakatan untuk PRU akan datang.

“Kita juga sedang merangka intipati terbaik untuk dipaparkan pada sambutan itu bahawa UMNO dan BN adalah pilihan terbaik pada PRU akan datang,” katanya yang dipetik dari sebuah laman portal pro Barisan Nasional.

Menurut Ab Rauf, pelbagai acara akan diadakan merangkumi program kesukanan yang bermula seawal pertengahan bulan depan di peringkat bahagian dan negeri.

“Kita juga akan mengadakan acara larian bendera bermula 1 Mei yang akan dimulakan di empat penjuru iaitu Perlis, Kelantan, Johor dan Sabah yang akan berakhir pada 11 Mei di Bukit Jalil,” ujarnya.

Ab Rauf menegaskan, sambutan utama akan diadakan di Stadium Bukit Jalil pada 10 dan 11 Mei dengan pelbagai program dan karnival berbentuk jualan, hiburan serta cabutan bertuah yang dijangka menarik kedatangan sehingga 200,000 pengunjung.

“Acara pada malam 11 Mei akan bermula dengan upacara penyerahan dan menaikkan bendera parti diikuti dengan ucapan Naib Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden parti serta Presiden Datuk Seri Najib Razak,” katanya lagi.

Mengulas lanjut Ab Rauf menjelaskan, acara kemuncak sambutan itu adalah majlis pecah tanah kompleks Pusat Dagangan Dunia KL Putra yang merangkumi pembinaan menara setinggi 70 tingkat yang bakal menjadi mercu tanda baharu bagi parti keramat itu.

“Pada acara itu, tempat letak kereta bertingkat di Hentian Putra akan diruntuhkan sebagai simbolik permulaan kerja-kerja projek itu yang akan disiarkan secara langsung dari PWTC ke Stadium Bukit Jalil,” katanya. – MalaysiaGazette