Home Utama Wanita mengaku tidak bersalah rempuh 8 penunggang basikal

Wanita mengaku tidak bersalah rempuh 8 penunggang basikal

Sam Ke Ting ketika hadir di Mahkamah Majistret Johor Bahru, pagi ini.

JOHOR BAHRU – Pemandu wanita yang menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal dalam satu kejadian pada 18 Februari lalu, didakwa di Mahkamah Majistret Trafik di sini hari ini.

Tertuduh, Sam Ke Ting, 22, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Salina Omar.

Mahkamah kemudian menetapkan wang jaminan sebanyak RM10,000 dan menetapkan tarikh 13 April depan bagi pengurusan kes.

Mengikut pertuduhan, wanita yang bekerja sebagai jurujual itu didakwa memandu kereta dengan nombor pendaftaran JQB 9984 di atas jalan raya dengan cara melulu atau cara merbahaya.

Wanita itu didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Lingkaran Dalam dalam daerah ini pada jam lebih kurang 3.20 pagi 18 Februari lalu.

Pertuduhan itu dibuat setelah mengambil kira tentang segala hal keadaan jalan (termasuk jenis, keadaan dan ukuran jalan tersebut) sehingga menyebabkan kematian ke atas lapan penunggang basikal.

Mereka yang maut ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14, Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraime, 14, Muhammad Firdauz Danish Mohd. Azhan, 16, Fauzan Halmijan, 13, Mohamad Azhar Amir, 13, Mohammad Harith Iskandar Abdullah, 14, Muhammad Shahrul Nizam Maruddin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.

Ke Ting didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang memperuntukkan penjara tidak kurang dari dua tahun dan tidak lebih 10 tahun dan denda tidak kurang RM2,000 dan tidak lebih RM20,000 dan lesen boleh digantung, jika disabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri, Roslan Mat Nor manakala tertuduh diwakili peguam Faizal Mohktar dan Bustamam Menon dari Tetuan Balaraja And Co. – MalaysiaGazette.