Kompleks Mahkamah Kajang

KAJANG – Enam lagi lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang, ‘Geng 360 Devan’.

Muhammad Rushlan Abdullah, B. Letchumanan, K. Alagasuveeran, M. Paramaguru, R. Sathies dan Elangonaidu, berusia antara 31 dan 44 tahun mengangguk faham selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Noridah Adam.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh kerana mereka ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan kes
itu akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Mereka dituduh menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng 360 Devan’ di MV Empayer Sdn Bhd, di No 1-B, Jalan Perniagaan Masria 1, Pusat Perniagaan Masria, Batu 9, Cheras, di sini, antara 1 Januari 2015 dan 7 Februari 2017.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P. Kunyalam dan Muhammad Fadzlan Mohd Noor manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 18 April untuk sebutan semula kes.

Pada 6 Mac lepas, sebanyak 29 individu termasuk seorang ahli politik bergelar ‘Datuk’ dihadapkan ke mahkamah sama atas pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang itu. – MalaysiaGazette