Gambar hiasan

BESUT – Dua kanak-kanak perempuan berumur 7 dan 10 tahun lemas apabila traktor mini yang mereka naiki terbalik dan menimpa mereka ketika sedang mendaki tebing Sungai Besut dekat Kampung Cegar Malok, Hulu Besut petang tadi.

Mereka yang maut dikenali sebagai Nor Aimy Dania Azman, 7, dan Rabiatul Adawiyah Sayuti, 10, yang merupakan pelajar Sekolah Kebangsaan Kampung La, Hulu Besut.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt Mohd Zamri Mohd Rowi berkata kejadian tersebut berlaku apabila kedua-dua mangsa tersebut dan seorang kakak salah seorang mangsa menumpang naik traktor mini yang dipandu oleh seorang lelaki di tepi tebing Sungai Besut dekat Kampung Cegar Malok.

“Ketika traktor itu cuba menaiki sebuah tebing tiba-tiba ia hilang kawalan dan mengundur ke belakang ke arah sungai”, katanya kepada media di sini lewat petang tadi.

Menurutnya, ketiga-tiga pelajar yang duduk di bahagian tempat duduk belakang traktor tersebut tercampak ke dalam sungai bersama traktor berkenaan.

Dalam kejadian yang berlaku jam 5.30 petang itu, mangsa pertama, Nor Aimy Dania dikatakan lemas kerana tersangkut pada alat pembajak di dalam air manakala Rabiatul Adawiah lemas akibat ditindih traktor mini yang terbalik itu.

Nor Aimy Dania meninggal dunia di tempat kejadian manakala Rabiatul Adawiyah pula meninggal dunia ketika dalam perjalanan untuk mendapatkan rawatan di
Hospital Daerah Besut.

Mayat kedua-dua mangsa kini berada di Hospital Daerah Besut untuk dibedah siasat.

“Pemandu traktor berkenaan dan seorang lagi pelajar perempuan berumur 10 tahun yang juga kakak kepada Nor Aimy Dania berjaya diselamatkan dalam insiden
tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette