SPRM

KUALA LUMPUR –  Lima individu termasuk bekas Pengarah Jabatan Perhutanan Terengganu hari ini didakwa atas pelbagai kesalahan rasuah melibatkan isu alam sekitar di empat negeri hari ini.

Kesemua mereka mengaku mengaku tidak bersalah.

Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bekas Pengarah Perhutanan Terengganu, Datuk Azmi Nordin dituduh atas tiga pertuduhan di Kuala Terengganu kerana menerima rasuah RM60,000 pada Mac hingga Ogos 2013.

Katanya, tertuduh berusia 58 tahun yang ketika ini bertugas sebagai Pengarah Bahagian Sivikultur dan Pemeliharaan Biologi Hutan, Jabatan Hutan Semenanjung itu mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mohammad Haldar Abdul Aziz.

Azmi didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan kerana menerima rasuah dan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

“Di Kuantan, seorang pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) didakwa melakukan tuntutan palsu berjumlah RM23,400 pada November 2013.

“Tertuduh, Abu Zahrim Ismail, 44, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Datuk Habibah Mohamed Yusof selepas pertuduhan dibacakan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009,” kata SPRM dalam satu kenyataan.

Tambah kenyataan itu, seorang lagi pegawai Perhilitan, A’zman Othman, 46, turut didakwa di Seremban atas enam tuduhan mengambil suapan berjumlah RM10,000 dua tahun lalu.

“Tertuduh didakwa mengambil suapan wang tunai RM10,000 sebagai upah melancarkan proses kelulusan bulanan bagi perkhidmatan mencuci dan membersih bangunan.

“Sementara itu, di Kuala Lumpur, dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan memberi rasuah kepada dua pegawai SPRM berhubung aktiviti perlombongan pasir secara haram di tanah rizab kerajaan di Putrajaya, tahun lalu.

“K. Mohan, 42, dan How Ah Lai, 45, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Madihah Harullah,” tegas SPRM dalam kenyataan tersebut. – MalaysiaGazette