Borhan Dolah.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) melantik Datuk Borhan Dolah sebagai Ketua Setiausaha (KSU) baharu di kementerian tersebut berkuatkuasa hari ini.

Borhan yang memulakan tugasnya secara rasmi hari ini disambut para pegawai kanan dan warga KKLW disamping itu turut bertemu dan mengadakan perbincangan dengan menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Parlimen.

Borhan, 57, merupakan Setiausaha Persekutuan Sabah, Jabatan Perdana Menteri sebelum ini dan berkelulusan Sarjana Muda Sastera (Kepujian) Universiti Malaya dan Sarjana Pentadbiran Awam Universiti Hartford, Amerika Syarikat.

Beliau menyertai perkhidmatan awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 1 Oktober 1983.

Sebelum itu, beliau adalah Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan & Pembangunan) Jabatan Perdana Menteri pada tahun 2013.

Karier perkhidmatan awamnya bermula sebagai Pegawai Kanan Perhubungan Masyarakat, Jabatan Perpaduan Negara, Jabatan Perdana Menteri pada tahun 1984 seterusnya dilantik sebagai Pegawai Penyiasatan dan Latihan, Pusat Daya Pengeluaran Negara, Kementerian Perdagangan Antarabangsa sehingga 1985.

Karier beliau di Jabatan Perkhidmatan Awam bermula pada tahun 1986 sebagai Penolong Pengarah, Bahagian Perjawatan, sebelum dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah, Cawangan Skim Perkhidmatan pada 1998 dan seterusnya sebagai Ketua Penolong Pengarah, Cawangan Pembangunan Organisasi pada tahun 1999.

Dari tahun 2006, beliau adalah Ketua Program, Program Pembangunan Profesional, INTAN sebelum ditukarkan ke Kementerian Belia dan Sukan sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) pada tahun 2008 dan kemudian menyandang jawatan Ketua Pengarah, Jabatan Belia dan Sukan Negara pada tahun 2010.

Selepas itu, pada tahun 2012 beliau adalah Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Jabatan Perdana Menteri. – MalaysiaGazette