Menteri Kesihatan, Datuk Seri S. Subramaniam melihat pelan contoh Klinik Kesihatan Kuala Lumpur di ruang legar utama klinik itu di Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 06 APRIL 2017.

KUALA LUMPUR – Bagi memudahkan orang ramai mendapatkan rawatan kecemasan untuk penyakit tanpa masalah, waktu rawatan di Klinik Kesihatan Kuala Lumpur, Jalan Fletcher akan dilanjutkan dari 5 petang kepada 9.30 malam dalam masa tiga minggu lagi.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, sejak dibuka pada Isnin lalu, kementeriannya akan memastikan lanjutan masa itu dilaksanakan dengan mengambil kira keperluan pesakit untuk berurusan di waktu malam.

Katanya, Jabatan Pesakit Luar di HKL ditutup dan dipindahkan ke KKKL yang beroperasi di luar hospital dengan sistem berkomputer ‘ Tele Primary Care’.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri S. Subramaniam beramah mesra bersama orang awam yang mendapatkan rawatan ketika membuat lawatan di Klinik Kesihatan Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 06 APRIL 2017.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri S. Subramaniam beramah mesra bersama orang awam yang mendapatkan rawatan ketika membuat lawatan di Klinik Kesihatan Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 06 APRIL 2017.

“Sejak berpindah ke sini, kehadiran pesakit luar sudah melebihi 700 orang sehari dan angka ini dijangka meningkat lagi melebihi 1,500 hingga 2,000 orang sehari tidak lama lagi.

“Ia pasti menerima orang ramai untuk berurusan ke klinik bagi sebarang penyakit biasa seperti demam kuat, cirit birit di waktu malam.

“Atas tujuan itulah waktu rawatan di KKKL yang kini ditetapkan sehingga pukul 5 petang akan dilanjutkan sehingga 9.30 malam dalam tempoh tiga minggu lagi dan ia akan mengambil masa untuk kakitangan kita menyesuaikan diri dengan sistem baharu bangunan ini,” Katanya selepas melawat klinik serba canggih itu

Subramaniam menyifatkan KKKL sebagai satu kemudahan holistik, serba lengkap dan moden yang disediakan kerajaan untuk kesejahteraan rakyat yang menjadi tanggungjawab bersama untuk menjaganya.

Pintu masuk utama bangunan Klinik Kesihatan Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 06 APRIL 2017.
Pintu masuk utama bangunan Klinik Kesihatan Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 06 APRIL 2017.

Jsuteru katanya, lebih 56 pegawai perubatan termasuk empat pakar kesihatan keluarga dan 200 kakitangan pegawai lain termasuk jururawat dan pegawai sains makmal dan sebagainya mampu menyediakan perkhidmatan yang cekap.

“Ini satu klinik yang lengkap dengan segala kemudahan kesihatan, pemeriksaan kencing, darah, imbasan X dan kaunseling dengan kos bernilai RM50 juta.

“Kos perkhidmatan kesihatan di KKKL dianggarkan sekitar RM30 juta setahun maka adalah menjadi tanggungjawab semua termasuk pesakit supaya menggunakan kemudahan di sini dengan baik tanpa merosakkannya,” katanya.

Ditanya mengenai rungutan pesakit luar mengenai sistem pendaftaran berkomputer yang lambat, Subramaniam berkata, ia akan ditangani dalam masa sebulan lagi.

“Semua maklumat pesakit dimasukkan dalam data komputer, bukan lagi cara konvensional menggunakan kertas dan pegawai kesihatan sini pun tidak pernah menggunakan sistem ini dan ada proses pembelajaran.

“Mungkin untuk satu bulan pertama ini isu ini akan berterusan dan berharap rakyat bersabar ya, kita akan cuba tangani segera,” janji beliau. – MalaysiaGazette