Timbalan Menteri Pertanian & Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman diiringi Pengerusi FAMA, Tan Sri Badruddin Amiruldin melihat ikan yang dijual di Pasar Tani Masjid Saidina Umar Al-Khattab Bukit Damansara ketika membuat lawatan kerja dan merasmikan pasar tani tersebut. foto SAFWAN MANSOR, 08 APRIL 2017

KUALA LUMPUR – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memberi jaminan produk pertanian mencukupi sepanjang bulan Ramadan tidak lama lagi.

Menurut Pengerusinya, Tan Sri Badaruddin Amiruddin, pihaknya akan memastikan produk pertanian antaranya daging segar, ayam, ikan, santan dan pelbagai produk keluarannya mencukupi.

“Setakat hari ini tidak ada masalah dari bekalan yang kita ambil terus dari ladang. Tidak akan ada masalah bekalan sepanjang bulan Ramadan. Bekalan mencukupi, jangan risau,” katanya kepada media selepas menghadiri majlis perasmian Pasar Tani Masjid Saidina Umar Al-Khattab Bukit Damansara.

Pasar tani berkenaan dirasmikan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Tambah Badaruddin lagi, pihaknya juga akan memastikan bekalan kelapa mentah juga mencukupi sempena sepanjang Ramadan nanti.

Oleh itu, FAMA katanya akan menambah import kelapa kepada dua juta biji berbanding sejuta biji sebelum ini.

“Kita yakin bekalan kelapa sebanyak dua juta biji itu akan mencukupi sepanjang Ramadan, jika tidak mencukupi kita akan import lagi,” katanya.

Bercakap mengenai harga produk pertanian yang dijual di pasar tani kelolaan FAMA, Badaruddin memberi jaminan harga yang dijual di sini lebih murah berbanding pasar lain.

“Harga pasar tani adalah lebih murah antara lima hingga 20 peratus berbanding pasar lain. Kadang orang buat perbandingan pasar tani FAMA dengan pasar raya besar tetapi produk pasar disini adalah segar berbanding sejuk beku,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Tajuddin berkata, pasar tani yang diperkenalkan FAMA adalah bagi meringankan beban pengguna yang kini dibebani dengan kenaikan harga barang keperluan.

Ujarnya, masyarakat setempat merungut dengan harga jualan oleh sesetengah peniaga di kawasan mereka.

Oleh itu, dengan wujudnya pasaran tani FAMA, maka ia dapat memberikan keuntungan kepada pengguna mahu pun peniaga.

“Sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat setempat dan ramai yang datang ke pasar tani. Idea ini dicetuskan oleh FAMA untuk memberikan kemudahan kepada pengguna di kawasan seperti ini.

“Ini kerana banyak pengguna merungut kerana terpaksa pergi ke kawasan yang jauh untuk membeli barangan basah di pasar.

“Kita dapat jimatkan kos pengeluaran dan maksimumkan penjualan dimana produk pertanian dapat dijual pada harga yang lebih murah sekaligus pengguna mendapat manfaat daripada ini,” katanya.

Untuk rekod, Pasar Tani Masjid Saidina Umar Al-Khattab adalah pasar tani keempat yang dibuka FAMA selepas Kota Damansara, sebuah di Pulau Pinang dan sebuah lagi di Kedah.

Pasar tani Masjid ini dibuka setiap Sabtu bermula jam 8.30 pagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast