Tengku Adnan Tengku Mansor (kiri) bersama Datuk Bandar Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Amin Nordin (dua dari kiri) melihat lakaran artis projek Taman Pudu Ulu Fasa 2 pada majlis perasmian taman itu di Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 10 APRIL 2017.

KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan membelanjakan RM11 juta bagi projek pembangunan Taman Pudu Ulu fasa 2 yang akan memberikan kemudahan rekreasi kepada penduduk sekitar.

Menurut Menterinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, reka bentuk pembangunan mengambil kira keperluan pengguna dengan bercirikan konsep taman metropolitan, mesra pengguna, penghijauan taman, pendidikan taman serta rekreasi air.

“Taman Rekreasi Pudu Ulu Fasa 2 yang telah siap dibina ini merupakan kesinambungan bagi pembinaan Taman Pudu Ulu sedia ada dan bertujuan untuk melengkapkan keseluruhan Taman Ulu Pudu melalui kemudahan rekreasi yang serba lengkap kepada penduduk sekitarnya.

“Untuk makluman semua, sejarah tapak pembinaan Taman Pudu Ulu ini pada asalnya merupakan sebuah kebun sayur yang diusahakan oleh penduduk sekitar. Pihak kerajaan Barisan Nasional (BN) telah membuat keputusan untuk membangunkan kawasan ini kepada sebuah taman rekreasi,” katanya dalam ucapan perasmian Taman Pudu Ulu Fasa 2 hari ini.

Pelan cadangan pembangunan Taman Pudu Ulu ini terbahagi kepada tiga fasa utama itu bertujuan mewujudkan sebuah taman awam yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan rekreasi dan riadah bagi semua golongan masyarakat dan peringkat umur.

Menurut Tengku Adnan, pembangunan taman itu juga selaras dengan hasrat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menyediakan lebih banyak kemudahan dan kawasan rekreasi bagi penduduk setempat, sekali gus dapat meningkatkan jumlah kawasan hijau di ibukota.

“Pihak kerajaan tidak pernah lupa akan tanggungjawab menyediakan kemudahan rekreasi demi kesejahteraan warga kota.

“Untuk pengetahuan semua, pembinaan Taman Pudu Ulu fasa satu adalah merangkumi sebahagian kawasan taman asal dengan anggaran seluas 31 ekar secara reka dan bina dan telah siap sepenuhnya pada November 2007 lalu.

Lebih daripada itu, Tama Pudu Ulu juga telah dipilih menjadi medan pertandingan acara petanque bagi temasya Sukan SEA ke 29 pada Ogos depan. -MalaysiaGazette.