KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memutuskan semua kelengkapan jersi dan barangan pasukan kebangsaan akan dipindahkan dari Wisma FAM ke stor simpanan Johor Military Force (JMF) di Johor Bahru.

Menurut laman Facebook milik FAM, ia berikutan kerap berlakunya kekurangan barangan serta jersi pasukan kebangsaan disebabkan oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab seperti sebelum ini yang menyukarkan pasukan kebangsaan untuk menggunakannya.

“Ianya bagi memudahkan segala urusan diawasi dan mengawal aliran keluar masuk barangan berkenaan. Ini membuktikan betapa seriusnya tindakan yang diambil oleh pengurusan FAM dalam usaha memantau serta situasi tersebut terkawal,” katanya lewat malam tadi.

Terdahulu, Presiden FAM, Tengku Mohkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam satu sidang medianya bertitah semua kelengkapan sukan pemain kebangsaan kerap kali hilang dalam simpanan FAM.

“Setiap kali pemain datang latihan, stokin tak ada, seluar tak cukup. Bila kita tanya kepada penaja rasmi skuad kebangsaaan NIKE, mereka kata semua kelengkapan seperti dipersetujui telah diberikan kepada FAM, jadi mana pergi semuanya?,” titah baginda.

Sementara itu, satu taklimat mengenai pengunaan video bantuan pengadil (VAR) telah dibentangkan kepada TMJ oleh Persatuan Pengadil Bolasepak Malaysia semalam.

Taklimat berkenaan diketuai Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Subkhiddin Mohd Salleh pada bagi meningkatkan mutu kualiti pengadilan di dalam Liga Malaysia.

Sistem berkenaan dijangka akan membantu setiap perlawanan dapat diadili dengan lebih baik. – MalaysiaGazette