Anggota Parlimen Bachok Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana mengotakan janji untuk memberi royalti petroleum kepada Kelantan.
Nik Mohamad Abduh

KUALA LUMPUR – Sikap ‘suka jaga tepi kain’ Rafizi terhadap Pas mendapat perhatian Ketua Pemudanya, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Nik Abduh yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas jelas menyindir Naib Presiden PKR itu yang aktif mendedahkan sesuatu isu berkaitan parti berkenaan kepada umum.

“Betullah kata Presiden Pas bahawa Pandan ni tak tahu dosa dan pahala. Suka sangat menyelongkar sampai jadi hobi. Tahi ayam pun digempaknya jadi tahi tuan ayam. Memang riuhlah..,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada pendedahan terbaharu Rafizi yang mendakwa bekas Timbalan Presiden Pas, Datuk Dr. Nasharuddin Mat Isa ada menerima sejumlah dana daripada bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn. Bhd.

Pendedahan itu dibuat Rafizi setelah mendapat maklumat daripada bekas pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Malah Rafizi turut mendakwa Ketua Penerangan Ulama Pas, Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali turut mendapat maklumat daripada individu yang sama untuk mendapatkan kesahihan mengenai dakwaan pemindahan dana 1MDB.

Bercakap mengenai perkara itu, Nik Abduh berkata, Pas mengambil pendirian untuk berdiam diri berhubung tuduhan tersebut kerana tidak melibatkan parti secara langsung.

“Pemimpin Pas juga banyak maklumat. Tetapi mereka berusaha mempraktiskan akhlak yang mulia bahawa sesuatu yang belum masak buktinya, maka diam adalah senjata disarung dan biarkan ia terlihat,” katanya.

Malah beliau turut menasihatkan bekas Setiausana Agung PKR itu agar lebih berhati-hati apabila membuat tuduhan terhadap Pas.

“Nasihat saya, pandu cermat, jiwa selamat. Tekan minyak, tekan juga brek..,” katanya.

Sebelum ini Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menasihatkan Rafizi agar bertaubat dan memohon keampunan daripada Allah kerana menuduh Pas menerima wang daripada 1MDB.

Sebagai seorang Islam kata Abdul Hadi, Rafizi seharusnya sedar bahawa tuduhan beliau terhadap parti itu adalah pembohongan.

Beliau bagaimanapun memaafkan tindakan Ahli Parlimen Pandan itu, namun menasihatkan Rafizi supaya bertaubat dan mohon keampunan Allah. – MalaysiaGazette