Tunku Ismail Sultan Ibrahim

KUALA LUMPUR – Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) amat kecewa dengan barisan-barisan Exco sebelum ini yang tidak bertanggungjawab dalam FAM hingga boleh mengakibatkan persatuan itu kehilangan lebih banyak wang.

Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, pada masa ini FAM sedang berhadapan dua kes iaitu satu kes dengan MP & Silva, yang mana sekiranya FAM kalah, badan induk bola sepak itu terpaksa membayar RM25 juta termasuk tambahan RM9 juta lagi jika kalah dengan satu lagi syarikat yang kita tandatangani untuk skuad pembangunan Harimau Muda ke Slovakia.

“Bagaimana FAM boleh tandatangani perjanjian yang lebih memihak kepada pihak lain? Sepatutnya keutamaan, kelebihan dan ‘financial securities’ serta apa sahaja kepentingan adalah kepada FAM tetapi sekarang ini apa yang berlaku adalah perjanjian-perjanjian yang lemah yang telah ditandatangani oleh FAM dan meletakkan badan induk ini di dalam keadaan yang susah.

“Buat masa ini nampaknya walaupun FAM akan terima kemasukan duit, tetapi tetap duit-duit tersebut akan keluar semula jikalau kalah dengan kes-kes berkenaan,” katanya melalui Facebook Football Association of Malaysia (Official) hari ini.

Tunku Ismail berkata, beliau telah berhubung dengan rakannya dari Singapura dan menggunakan kenalan yang beliau ada dalam kerajaan Johor untuk berjumpa sendiri dengan pemilik atau orang atasan MP & Silva.

“Insya-Allah saya akan cuba apa yang saya boleh untuk selesaikan perkara ini di luar mahkamah dan supaya kita boleh menjaga duit yang ada dalam FAM.

“Jika FAM tiada duit, tiadalah peruntukan untuk pasukan-pasukan yang bertanding di dalam liga Malaysia dan juga skuad kebangsaan. Oleh sebab itu saya katakan perkara ini adalah sangat serius,” ujarnya. – MalaysiaGazette