Azam Baki

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyambung semula siasatan berhubung kes salah laku seorang bekas menteri yang dikaitkan dengan pembelian sebuah hartanah oleh anak Mara Incorporated Sdn Bhd di Melbourne, Australia.

Timbalan Ketua Pesuruhajaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki berkata, siasatan kes terbabit akan disambung berikutan bukti dan maklumat baharu.

“Kami akan memanggil lebih ramai saksi untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan kes tersebut dalam masa terdekat.

“Keterangan akan diambil bukan sahaja daripada saksi-saksi dalam negara malah juga daripada luar negara,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Azam juga tidak menolak kemungkinan bahawa tangkapan akan dibuat ke atas mereka yang terlibat sekiranya perlu dalam masa terdekat

Terdahulu, Setiausaha Agung Persatuan Perjuangan Masyarakat Kota (PERKATA), Adzly Ab Manas dilaporkan mempunyai bukti baharu dan mengesa SPRM membuat siasatan lanjut.

Manakala pada Khamis, MARA menyatakan kesediaan untuk memberi kerjasama kepada SPRM berhubung isu pembelian hartanah oleh anak syarikatnya itu.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, pihaknya juga sedia tampil mengemukakan dokumen yang diperlukan sekiranya ada bukti dan fakta terbaharu mengenai penyalahgunaan kuasa atau rasuah dalam proses pembelian hartanah tersebut.

Tegas beliau, MARA akan memanggil mana-mana pegawai yang diperlukan SPRM bagi memberi keterangan berhubung hal itu.

“Kita tidak mahu ia mengganggu siasatan SPRM. Tetapi, kalau SPRM minta (dokumen), kita tiada masalah dan kita akan beri.

“Kalau sampai dedahkan secara terbuka kepada umum, ia cuma akan mencetuskan bibit spekulasi sehingga mengganggu siasatan SPRM,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bazar MARA Semenyih. –Malaysia Gazette