KUALA LUMPUR – Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan Petronas merancang menganjurkan perlumbaan terakhir perlumbaan Formula Satu (F1) yang akan menjadi kenangan yang tidak dapat dilupakan penonton dan peminat sukan permotoran itu.

Malaysia yang akan menganjurkan pusingan ke-15 pada  29 September hingga 1 Oktober ini mengambil keputusan menamatkan kontrak pe­nganjuran perlumbaan itu bermula tahun depan memandangkan pulangannya semakin menurun berbanding kos penganjuran kejohanan.

Selain daripada menawarkan harga tiket yang murah bermula RM58.68 untuk tempat duduk Hillstand K2, SIC yang melancarkan kempen F1NALE semalam menyatakan pelbagai aktiviti menarik telah dirancang.

Antaranya, penganjur akan bekerjasama dengan Tentera Udara DiRaja Malaysia untuk mempersembahkan pertunjukan udara di hari perlumbaan selain peminat boleh mendapatkan cederahati terakhir penganjuran F1 oleh Malaysia.

“Ketika bendera dikibarkan (pemenang F1 melintasi garisan penamat), daripada bersedih dengan penganjuran terakhir perlumbaan Berprestij, SIC bersama-sama Petronas telah merancang menjadikannya (acara) yang menarik dan bersejarah pada tahun ini dan memastikan peminat yang hadir tidak akan melupai perlumbaan terakhir ini,” kata Pengerusi SIC, Tan Sri Azman Yahya ketika melancarkan kempen F1NALE malam tadi.

Ia merupakan penganjuran F1 ke-19 dengan perlumbaan pertama diadakan pada 1999. Pelumba Ferrari,  Eddie Irvine memenangi perlumbaan itu manakala rakan sepasukan, Michael Schumacher kembali beraksi selepas terlepas enam pelumbaan akibat kecederaan kaki.

 

Azman berkata, perlumbaan F1 bukan sahaja telah menjadi instrumen dalam pembangunan Litar Sepang tetapi juga industri permotoran negara salain sektor pelancongan permotoran.

“Kesan perlumbaan telah dirasai dan akan terus dirasai pada masa depan ketika ia meletakkan Malaysia pada peta dunia,” ujar beliau.

Sementara itu, Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas, Zahariah Abdul Rahman, berkata, pihaknya akan terus mencungkit bakat-bakat tempatan dalam sukan permotoran.

Katanya, Petronas telah berkembang menerusi jalinan kerjasama dengan pasukan Mercedes AMG dengan membangunkan minyak pelincir yang sesuai digunakan oleh pengguna biasa. – MalaysiaGazette