Hilmi Yahaya

LARUT – Tunggakan bil rawatan warga asing yang mendapatkan perkhidmatan di hospital kerajaan di seluruh negara bagi tempoh 2012 hingga tahun lalu kini mencecah RM50.5 juta.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahya, berkata usaha sedang dibuat untuk menjejak warga asing yang belum menjelaskan tunggakan itu termasuk mengesan alamat tempat tinggal atau majikan mereka, selain meminta bantuan daripada kedutaan asing di Malaysia.

Katanya, kebanyakan warga asing yang datang secara sah tidak menghadapi masalah untuk menjelaskan tunggakan kerana mereka mempunyai insurans apabila datang bekerja di negara ini.

” Yang jadi masalah kepada kita ialah warga asing yang datang bukan secara sah dan tidak mempunyai alamat tempat tinggal yang sah,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Klinik Kesihatan Redang Panjang dan menyampaikan sijil pelantikan panel penasihat kesihatan Daerah Larut Matang dan Selama di Batu Kurau, dekat sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar semalam bahawa warganegara asing dari 38 negara berhutang bil perubatan dengan Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebanyak RM7.87 juta sejak beberapa tahun.

Laporan itu menyebut, pada tahun lepas sahaja, terdapat RM3 juta tunggakan bil yang gagal dijelaskan oleh warga asing kepada HKL.

Dr Hilmi berkata tunggakan yang gagal dijelaskan itu juga membuktikan kerajaan Malaysia sangat prihatin kepada keperluan warga asing yang datang ke hospital kerajaan untuk mendapatkan rawatan terutama jika berlaku kecemasan.

“Tetapi, apabila mereka sihat mereka lari daripada menjelaskan bil rawatan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Dr Hilmi berkata pihaknya bercadang menambah bilik dan mesin hemodialisis di Hospital Selama membabitkan peruntukan RM350,000 untuk membantu 26 pesakit yang menunggu bagi mendapatkan rawatan termasuk di Hospital Taiping.

Bilik sedia ada yang beroperasi sejak 1991, kecil dan hanya mempunyai tujuh mesin, katanya.- MalaysiaGazette