KUALA LUMPUR – Polis menahan 31 orang, termasuk empat wanita, dalam operasi berasingan di enam buah negeri kerana disyaki mengutip wang pinjaman.
Kesemua mereka adalah warga tempatan berusia antara 23 hingga 40 tahun itu ditahan di Pulau Pinang, Selangor, Johor, Kedah, Melaka dan Negeri Sembilan.
Operasi yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dengan bantuan Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram Bukit Aman itu dilakukan semalam hingga 5 pagi hari ini.
Pengarah JSJK, Komisioner Polis Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pada operasi itu, polis turut merampas 16 kenderaan pelbagai jenis, 17 telefon bimbit, barang kemas, empat utas jam tangan berjenama, 38 keping kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) milik peminjam dan 14 buku akaun simpanan.
“Turut dirampas lapan buku cek pelbagai bank, 10 buah komputer riba dan wang tunai RM25,850,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, polis turut menyita dua buah rumah milik ahli sindiket di Nilai dengan rampasan bernilai RM1,310,850.
Justeru katanya, pergerakan sindiket ini dipantau pasukan risikan sejak tiga bulan lepas.
Menurut Acryl, sindiket berkenaan menggunakan kekerasan dalam menjalankan aktiviti mereka dengan ramai mangsa menerima ugutan.
Namun katanya, sindiket yang beroperasi sejak tiga tahun itu tidak terlibat dalam sebarang perbuatan mengurung dan memukul peminjam sehingga hari ini.
Ditanya jumlah mangsa sindiket, Acryl berkata, ia masih dalam siasatan dan sehingga semalam jumlah peminjam dalam senarai sindiket itu adalah kira-kira 1,500 orang.
“Mereka memang ganas kerana jika pinjaman tidak dijelaskan seperti yang dikehendaki, dia akan ugut mangsa peminjam melalui telefon dengan ayat dan perkataan lucah serta menyimbah cat di rumah.
“Kesemua tahanan akan disiasat di bawah Akta Pemberi Pinjaman Wang 1952 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001,” katanya. – MalaysiaGazette