Jentera, Razak 1, yang digunakan pada projek Landasan Berkembar Lembah Kelang.

KUALA LUMPUR – Projek menaiktaraf infrastruktur Keretapi Berkembar Elektrik Lembah Kelang (KVDT) mampu disiapkan tepat pada masanya.

Ini kerana projek fasa satu yang melibatkan penambahbaikan infrastruktur sepanjang 42 kilometer dari Rawang ke Salak Selatan menelan belanja RM1.41 bilion itu tidak mengalami masalah besar.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, hanya masalah cuaca seperti hujan lebat dan banjir kilat sahaja yang kadang kala merencatkan kerja-kerja penambahbaikan.

“Kerja-kerja ini melibatkan landasan sedia ada dan bukannya landasan baharu.

“Jadi mereka hanya mempunyai masa sekitar empat hingga lima jam sehari pada waktu malam untuk menyiapkan kerja-kerja tersebut supaya tidak menganggu operasi komuter pada waktu siang.

“Bagaimanapun ia masih di landasan untuk disiapkan pada waktu yang telah disasarkan,” katanya semasa sidang media selepas melancarkan KVDT di sini hari ini.

Tambah Tiong Lai dengan KVDT, ia dapat meningkatkan “headway” dari 15 minit kepada 7.5 minit apabila siap sepenuhnya pada 2019.

Katanya, KVDT boleh dikategorikan sebagai Metro Standard yang setara dengan perkhidmatan LRT dan MRT.

Fasa kedua KVDT melibatkan laluan Salak Selatan sehingga Seremban namun Tiong Lai tidak memberikan butiran lanjut mengenainya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast