Presiden Perkasa Malaysia, Datuk Paduka Ibrahim Ali bercakap kepada media selepas selesai Program Ijtimak 150 Cendekiawan Islam Bersama Dr. Zakir Naik Menangani Islamofobia di Rumah Alumni Universiti Malaya,Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 16 APRIL 2017.
KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), hari ini menggesa Menteri Kesihatan, Datuk Seri S. Subramaniam supaya meletakkan jawatan serta-merta.

Ia ekoran kenyataan Presiden MIC itu terhadap penceramah bebas kontroversi, Dr. Zakir Naik bercanggah dengan keputusan Kementerian Dalam Negeri yang memberikan taraf Penduduk Tetap (PR) kepada Zakir secara kolektif dalam kabinet.

Menurut Presiden Perkasa, Datuk Dr. Ibrahim Ali, sebagai seorang pemimpin bagi kaum India dan juga sebagai seorang menteri, Subramaniam sepatutnya lebih berhati-hati dalam memberikan kenyataan.

“Dia (Subramaniam) Menteri Kesihatan, yang bagi PR kepada Zakir, Kementerian Dalam Negeri, bukan portfolio dia pun.

“Ini keputusan KDN. Keputusan ini secara kolektif dalam kabinet. Kalau orang MIC yang tiada jawatan dalam kabinet ok, bukan dia sebagai menteri?

“Jadi, mana-mana menteri yang bercanggah dengan keputusan kabinet, dia patut bersara,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, Subramaniam mengingatkan supaya rakyat di negara ini berwaspada terhadap mana-mana pihak yang boleh menimbulkan ketegangan agama agar negara tidak berada dalam keadaan bahaya.

Beliau berkata demikian sebagai merujuk kepada kehadiran penceramah yang berasal dari India itu bagi menyampaikan ceramah dalam siri jelajahnya di beberapa lokasi di negara ini.

Subramaniam kemudiannya sekali lagi menimbulkan ketegangan apabila mempertikaikan tindakan kerajaan yang memberikan PR kepada Zakir.

Menurutnya, Zakir tidak perlu berada di negara ini kerana tidak mampu memberi sebarang sumbangan terhadap Islam di negara ini.- MalaysiaGazette