A.K.Ramalingam (empat dari kiri) mewakili kem Palanivel menuntut 3 kerusi Parlimen dan 6 kerusi DUN untuk bertanding pada PRU14 kali ini. Foto: Kumara Sabapatty

KUALA LUMPUR – Selepas mengharungi krisis dalaman sejak tiga tahun lalu, MIC kini dalam proses ke arah persiapan rapi dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang dijangka bila-bila masa daripada sekarang.

Bagaimanapun parti itu kini berdepan dengan masalah pembahagian kerusi dan beberapa pemimpin MIC yang masih berada di sebelah kem bekas presiden parti itu, Datuk Seri G. Palanivel semalam meletakkan tuntutan 30 peratus daripada kerusi MIC menjelang PRU-14.

Bekas Pengarah Strategik MIC, A.K.Ramalingam menuntut Barisan Nasional (BN) supaya memperuntukkan tiga kerusi parlimen dan enam kerusi Dewan Undangan Negeri untuk mereka bertanding.

Ramalingam mendakwa, Palanivel yag juga merupakan Ahli Parlimen Cameron Highland masih mempunyai pengaruh dalam kalangan masyarakat India.

“Kami ingin memohon kepimpinan tertinggi BN dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mempertimbangkan tuntutan kami menjelang PRU-14.

“Kami meminta BN menyediakan enam kerusi DUN dan tiga kerusi Parlimen untuk kem Palanivel menjelang PRU-14 kerana kami masih relevan dan berpengaruh kuat dalam kalangan masyarakat India,” tegasnya kepada Malaysia Gazette hari ini.

Terdahulu, dalam sidang medianya semalam,  Ramalingam mendakwa puak Presiden MIC, Datuk Seri S. Subramaniam telah mengenepikan mereka sedangkan mereka juga terikat dengan amanat menyelamatkan MIC dan BN.

Katanya, mereka juga akan bekerja keras untuk menjamin kemenangan besar BN dan juga MIC pada PRU-14.

“Khidmat dan bakti kami kepada BN akan terus dikekalkan jika kesemua sembilan kerusi ini diperuntukkan untuk barisan Palanivel,” katanya lagi.

Menurut Ramalingam, pihak mempunyai kapasiti untuk menuntut kerusi bertanding kerana mendakwa mereka masih merupakan ahli MIC dan pemecatan oleh Subramaniam sebeum itu didakwa tidak sah.

“Kes ini telah dirujuk ke mahkamah dan 8 Mei ini ia akan diputuskan di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya, selagi mengetahui keputusannya kami masih ahli MIC dan pemecatan itu tidak boleh dipakai sehingga itu,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast