KUALA LUMPUR – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua, Datuk Seri Ong Ka Chuan akan memulakan lawatan kerja selama lima hari ke Jerman esok untuk menyertai ekspo perindustrian antarabangsa terkemuka, Hannover Messe 2017.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan berkata, lawatan tersebut adalah tepat pada masanya untuk mendapatkan maklumat mengenai industri berasaskan inovasi, teknologi dan memiliki nilai tambah tinggi dalam usaha untuk kekal berdaya saing di peringkat global.

Beliau dijangka menyampaikan ucaptama bertajuk, “ASEAN pada 2017: Merebut Peluang Baharu Menerusi Dasar Pedagangan pada Forum ASEAN Hannover Messe yang disasarkan kepada pelabur antarabangsa yang berminat untuk menyertai eksport dan pelaburan di rantau ini.

Hannover Messe merupakan salah satu ekspo ternama dunia dalam bidang industri diadakan di Hannover, Jerman sejak 1974.

Jerman merupakan rakan dagang terbesar Malaysia daripada Kesatuan Eropah pada 2016 dan menduduki tempat ke-11 dari segi global.

Perdagangan dengan Jerman meningkat sebanyak 7.1 peratus kepada €10.04 billion atau RM46.08 bilion.

Eksport Malaysia ke Jerman berkembang sebanyak 13.5 peratus kepada RM22.3 bilion tahun lepas manakala import meningkat sebanyak 1.8 peratus kepada RM23.78 bilion Berbanding 2015. – MalaysiaGazette