KUALA LUMPUR – Belian bersih ekuiti oleh pelabur asing di Bursa Malaysia berjumlah RM283 juta pada minggu lalu berbanding RM239 juta minggu sebelumnya.

MIDF Research dalam laporan aliran dana hari ini berkata, pembelian bersih asing ketara pada hari Jumaat apabila ia mencecah RM144.8 juta.

Menurut firma itu, kemasukan belian asing kebetulan apabila FBM KLCI mencecah paras tertinggi dalam 22 bulan dengan sentimen dirangsang oleh pembaharuan cukai oleh Trump yang akan diumumkan Rabu ini.

Sehingga ini, pembelian asing terkumpul berjumlah RM6.91 bilion tertinggi dalam kalangan negara serantau iaitu Thailand, Indonesia dan Filipina.

Firma penyelidikan itu menambah, penyertaan asing di bursa melonjak minggu lalu tetapi kekal dalam tahap sederhana.

Katanya, nilai purata dagangan harian (ADTV) naik sebanyak 16 peratus kepada RM860.4 juta.

MIDF Research berkata, penyertaan runcit mula berkurangan disebabkan penurunan ADTV sebanyak 20.2 peratus kepada RM881.4 juta, kali pertama ia merosot di bawah paras RM1 bilion dalam tempoh enam minggu.

Firma penyelidikan itu berkata, terdapat pengambilan untung yang ketara oleh pelabur runcit pada minggu lepas dengan jumlah jualan RM187.6 juta, tertinggi dalam tempoh seminggu pada tahun ini. – MalaysiaGazette